Pencarian bakat Cub Prix bermula

Astro Arena
Januari 6, 2016 22:29 MYT
Acara ini memainkan peranan penting dalam melahirkan pelumba-pelumba tempatan berbakat khususnya di peringkat remaja. - Gambar fail
PENDAFTARAN bagi sesi pemilihan pelumba untuk kategori Perlumbaan Kategori Satu Pengeluar (OMR) Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas bagi musim 2016 kini dibuka.
Sama seperti musim-musim lepas, perlumbaan yang dianjurkan bersama-sama pengeluar, Boon Siew Honda Sdn Bhd dan Hong Leong Yamaha Motor Malaysia Sdn Bhd ini terus memainkan peranan penting dalam melahirkan pelumba-pelumba tempatan berbakat khususnya di peringkat remaja.
Antara bakat-bakat yang lahir dari program ini termasuklah dua pelumba di bawah Program Pembangunan Bakat Pelumba Petronas ketika ini, Hafizh Syahrin Abdullah (Moto2) dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (Moto3) yang memulakan karier dalam siri perlumbaan Yamaha manakala Mohd Zulfahmi Khairuddin memulakan karier di dalam siri perlumbaan Junior GP pada tahun 2007.
Turut mengikut jejak langkah serupa ialah pelumba berusia 18 tahun, Khairul Idham Pawi yang bakal beraksi dalam saingan Moto3 Kejuaraan Grand Prix Dunia setelah mempamer aksi cemerlang meraih tiga podium dalam saingan Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia CEV Sepanyol musim lepas selepas menjuarai dua kelas perlumbaan, Wira dan Asia Dream Cup (ADC) pada musim 2014.
"Remaja yang berminat dan berbakat seharusnya tidak melepaskan peluang untuk mendaftarkan nama mereka. Tempat yang disediakan adalah sangat terhad. Jadi kepada pelumba yang namanya terpilih oleh pihak Honda dan Yamaha nanti perlu memberi sepenuh tumpuan untuk mengasah dan mempamerkan bakat mereka dalam perlumbaan yang begitu kompetitif ini," jelas Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg.
Tambahnya, “Dengan adanya siri perlumbaan satu pengeluar ini, ia sebenarnya dapat meringankan beban bagi pelumba-pelumba yang kurang berkemampuan di mana pihak pengeluar akan menyediakan jentera, peralatan perlumbaan dan juga persediaan teknikal.
"Malah, apa yang penting juga di sinilah juga pasukan-pasukan profesional tempatan akan mengesan dan menilai pelumba-pelumba yang berpotensi untuk mewakili mereka pada masa depan bagi menggantikan pelumba-pelumba senior pada hari ini.”
#Cub Prix #pelumba #pencarian #pendaftaran #Petronas
;