Pencapaian terburuk Malaysia di Sukan SEA 2023, ke mana hala tuju sukan negara?

Bernama
Mei 17, 2023 19:42 MYT
Menamatkan cabaran di tempat ketujuh dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan adalah pencapaian sangat mengecewakan. - Gambar fail
PHNOM PENH: Ke mana hala tuju arena sukan Malaysia?
Persoalan itu pastinya berlegar-legar dalam fikiran bukan sahaja bagi peminat sukan tanah air, malah seluruh rakyat Malaysia susulan pencapaian terburuk kontinjen negara pada edisi ke-32 temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja yang akan melabuhkan tirai secara rasmi hari ini.
Menamatkan cabaran dengan menduduki tempat ketujuh dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan adalah pencapaian sangat mengecewakan bagi Malaysia sejak temasya sukan dwitahunan itu diperkenalkan pada 1959.
Kontinjen negara akan pulang dengan detik hitam di pentas saingan Sukan SEA Kemboja apabila hanya mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.
Lebih memalukan apabila Malaysia dengan 676 atlet berada di bawah Singapura, Filipina dan Kemboja.
Apa jua alasan atau rumusan akan diberikan kontinjen negara terhadap kegagalan itu, hakikatnya Malaysia kini berada di tahap yang belum pernah berlaku dalam sejarah penyertaan pada temasya sukan tersebut.
Jika mempertaruhkan majoriti muka baharu atau pertama kali bertanding di temasya itu selain beberapa acara lubuk emas Malaysia tidak dipertandingkan pada kali ini serta tuan rumah, Kemboja menggunakan atlet naturalisasi dikatakan sebagai antara faktor terhadap kegagalan itu.
Perkara tersebut dianggap tidak relevan kerana kontinjen negara sudah pun tahu berhubung apa akan berlaku di temasya sukan ini dan persediaan rapi sudah dilakukan bagi menghadapi Sukan SEA Kemboja.
Malah, unjuran dilakukan persatuan sukan kebangsaan yang dikatakan tidak memberi gambaran sebenar tahap pencapaian atlet masing-masing, kononnya turut menyumbang kepada kegagalan itu juga tidak boleh diterima.
Merumuskan pencapaian terburuk kontinjen negara itu, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, berkata alasan atau rumusan seumpama itu tidak relevan dan pencapaian terburuk kontinjen negara perlu diteliti dari pelbagai sudut.
Beliau berkata pelbagai pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan kebangsaan perlu mencari jalan supaya pencapaian itu dapat diperbaiki bukan sahaja di peringkat Sukan SEA, malah pada temasya sukan lebih berprestij seperti Sukan Asia.
"Kita faham ada sesi libat urus bersama persatuan sukan sebelum sasaran ditetapkan untuk kita melihat apakah sumbangan pingat yang boleh diberikan oleh persatuan-persatuan sukan yang akan menyertai Sukan SEA.
"Kita perlu betul-betul pantau persatuan sukan kebangsaan...kalau tiada program latihan, tiada jurulatih, tidak banyak pertandingann walaupun mereka menjanjikan bulan dan bintang, kita tidak boleh terima bulat-bulat," katanya.
Berkaitan isu Kemboja memperkenalkan beberapa acara baharu serta menggunakan atlet naturalisasi, Pekan berkata hal tersebut bukan perkara baharu kerana sebagai tuan rumah mereka tidak mahu berada di kedudukan bawah.
"Kalau nak dikatakan seolah-olah Kemboja merampas kedudukan pingat atau menolak kita ke kedudukan ketujuh. Perkara ini bukan perkara baharu, setiap kali siapa yang menjadi tuan rumah, mereka tidak mahu duduk di posisi paling bawah dan menggunakan kelebihan yang ada.
"Saya juga nak beritahu, kalau kita hilang pingat emas kepada Kemboja sebab guna atlet naturalisasi...sukan apa yang kita hilang emas? Mungkin kriket sahaja...bola keranjang itu pun belum tentu kita dapat pingat emas," katanya.
Pekan turut menolak tanggapan bahawa penyertaan atlet negara pada pentas Sukan SEA adalah bagi memberi pendedahan kepada lebih ramai atlet muda, sebelum mereka disenaraikan untuk bersaing di peringkat tertinggi.
"Katakan dasar sekarang kita akan hantar ramai atlet muda dalam lingkungan 21, 22 atau 23 tahun, pergi untuk pendedahan. Perkara ini tidak boleh dilakukan kerana dalam lingkungan umur itu patutnya tahap mereka dah boleh menang pingat emas dan bukan sekadar penyertaan semata-mata.
"Tak kan mereka nak sertai Sukan Asia pada umur 30 tahun. Ini justifikasi tidak menggambarkan kemajuan kejayaan bagi seseorang atlet. Tak kan kita nak meletakkan mereka akan berjaya di peringkat umur yang lewat, umpamanya atlet China ketika umur muda dah jadi juara Olmpik," katanya.
Beliau berkata persatuan sukan kebangsaan sepatutnya menyenaraikan atlet terbaik mereka dan bukan sekadar hanya menghantar atlet baharu atau muda mereka beraksi di pentas Sukan SEA.
"Walaupun dalam kedudukan ranking dunia, mereka antara terbaik, Tidak kisah Sukan SEA atau temasya sukan lain, kita perlu hantar atlet terbaik untuk menang. Kita tidak mahu dianggap bila (lawan) jumpa atlet Malaysia, mereka kata tiada masalah boleh menang. Jangan kita gadai maruah kita," katanya.
Beliau turut merumuskan beberapa acara sukan menampilkan aksi terbaik pada temasya kali ini seperti karate dan silat, yang masing-masing meraih empat emas manakala taekwondo membawa pulang tiga emas.
"Pencapaian olahraga pada saya biasa-biasa walaupun menang lima emas dan menjadi penyumbang terbanyak kepada kontinjen negara. Melihat kepada lebih 40 emas ditawarkan dalam olahraga, jumlah itu tidak dianggap cemerlang. Sepatutnya skuad olahraga raih purata 10 emas," katanya.
Beliau berkata sukan paling mengecewakan adalah badminton yang gagal membawa sebarang pingat emas; bola sepak yang tersingkir awal di peringkat kumpulan; hoki dalam dewan serta renang.
Difahamkan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria akan memberikan perincian mengenai prestasi dan pencapaian atlet di Sukan SEA 2023 pada sidang media rangkuman prestasi di Kuala Lumpur, Jumaat ini.
Apa pun rumusan terhadap prestasi kontinjen negara pada temasya di Kemboja ini, perlu ada jalan penyelesaian segera supaya kegagalan tersebut tidak berulang pada Sukan SEA 2025 di Thailand, apatah lagi atlet Malaysia dijadual menyertai Sukan Asia di Hangzhou, China, September ini.
-- BERNAMA / Elmi Rizal Elias
#Sukan SEA #sasaran pingat #Malaysia #sukan negara
;