Pencapaian hoki di Piala Dunia Remaja yang terbaik - Khairy Jamaluddin

Bernama
Disember 16, 2013 23:02 MYT
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (tengah) pada Majlis Menandatangani Memorandum persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan bersama Intel Malaysia Sdn Bhd. --FotoBERNAMA
Pencapaian skuad negara pada Kejohanan Hoki Hoki Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India adalah pencapaian terbaik acara sukan Malaysia sepanjang tahun ini, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
"Saya amat berbangga dengan skuad hoki remaja kebangsaan kita yang memperolehi tempat keempat pada kejohanan itu. Ia adalah salah satu pencapaian sukan terbaik Malaysia untuk tahun ini.
"Saya berharap pasukan ini akan terus mencipta kejayaan walaupun ada pemain mewakili skuad senior. Jangan hanya pada usia remaja sahaja mereka bermain dengan baik tetapi bila meningkat ke skuad senior mereka hancur," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Khairy menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Belia dan Sukan dan Intel Malaysia untuk program kemahiran digital bagi pelatih di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Skuad remaja kebangsaan menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas kepada Belanda 7-2 pada perlawanan penentuan tempat ketiga kelmarin.
Prestasi skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah itu melepasi sasaran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang menyasarkan kedudukan keenam terbaik pada kejohanan berkenaan.
Kejayaan itu menyamai pencapaian Malaysia dalam kejohanan sama pada 1979, 1982 dan 1985.
Menurut Khairy, pembangunan sukan hoki di peringkat awal perlu dipergiatkan khususnya melalui Projek Hoki 1MAS mahupun program persediaan MHC bagi menghadapi Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.
"Skuad hoki remaja yang ada sekarang ini akan menjadi pelapis kepada pasukan senior pada masa akan datang. Kita akan mempastikan segala sokongan dan bantuan diberikan kepada MHC untuk membentuk generasi baharu pemain-pemain hoki negara," katanya.
Pada Disember 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM9 juta bagi membiayai projek pembangunan pemain pelapis atau Projek Hoki 1MAS bagi tempoh tiga tahun bermula 2011.
Projek tersebut melibatkan pemain-pemain remaja di bawah 12, 14 dan 16 tahun.
#hoki #Khairy Jamaluddin #piala dunia remaja