Penangguhan Sukma: Atlet Sabah bersedia untuk Sukma 2022
Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 10, 2020 05:19 MYT
November 10, 2020 05:19 MYT
KOTA KINABALU: Penangguhan Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Johor 2020 ke tahun 2022 merupakan satu langkah terbaik bagi mengelak penularan wabak COVID-19.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin berkata penangguhan tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha menghapuskan penularan wabak tersebut di negara ini.
"Sebagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Isnin, ia adalah keputusan terbaik untuk mengelak penularan wabak COVID-19.
"Ia sekali gus mengurangkan kebimbangan semua pihak terhadap penularan virus tersebut yang semakin merunsingkan terutama di Sabah," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Menyentuh tentang persediaan, katanya atlet negeri telah melakukan persediaan dan latihan berjalan seperti biasa.
“Sebenarnya kontinjen Sabah telah bersedia untuk menyertai Sukma mahupun Para Sukma dan latihan atlet kita berjalan seperti biasa sejak berakhirnya kedua-dua temasya itu di Perak pada tahun 2018.
“Latihan sedikit berbeza mengikut norma baharu iaitu penerapan Prosedur Operasi Standard (SOP) di mana bagi sukan individu, semua atlet berlatih bersendirian.
"Manakala bagi beberapa sukan berpasukan, latihan dijalankan secara kuarantin penuh di mana mereka ditempatkan di satu pusat latihan dengan kawalan ketat keluar-masuk.
"Mereka ini dipantau sepenuhnya di bawah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS), dan kementerian ini sentiasa mengikut rapat perkembangan dan prestasi semasa atlet yang terlibat,” katanya.
Tambahnya, seramai 736 atlet melibatkan 31 jenis sukan dalam senarai awal telah didaftar untuk Sukma, manakala untuk Para Sukma pula ia melibatkan 113 atlet yang akan bertanding dalam sembilan jenis sukan.
“Setakat ini, tidak ada peluang atlet mewakili Sabah yang terjejas berikutan penangguhan.
"Ini kerana, saya difahamkan had umur penyertaan juga akan dilanjutkan dari 21 tahun ke bawah ke had umur baharu, iaitu 23 tahun ke bawah untuk Sukma ke-20, tahun 2022 nanti.
“Apapun, semua akan dibincangkan dan diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma di peringkat kebangsaan sebelum dibentangkan semula dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma nanti," jelasnya.
#Sukan Malaysia
#Sukma Johor 2020
#Para SUKMA
#Penangguhan
#COVID-19
#Menteri Belia dan Sukan Sabah
#Ellron Alfred Angin
#SUKMA
#Sabah