Penang FC yakin kemampuan Neto Oliveira
Bernama
Mei 6, 2024 08:50 MYT
Mei 6, 2024 08:50 MYT
BUKIT MERTAJAM: Aksi pembukaan Liga Super menentang Sabah FC pada 12 Mei depan bakal menjadi medan bagi menguji kemampuan sebenar pemain import baharu pasukan Penang FC, Neto Oliveira.
Ketua Jurulatih Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata pemain kelahiran Brazil berusia 26 tahun itu berkemungkinan besar akan disenaraikan dalam kesebelasan utama tetapi buat masa ini pihaknya masih memantau prestasi dan tahap kecergasannya memandangkan baru seminggu berlatih bersama pasukan.
Namun, beliau percaya pemain berusia 26 tahun itu akan cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan berdasarkan pengalamannya yang pernah beraksi dengan beberapa kelab profesional dalam Liga Brazil termasuk Santos FC dengan dibantu tiga lagi pemain import iaitu Rodrigo Dias, Rafael Vitor dan Richmond Ankrah yang dipinjamkan daripada Selangor FC.
"Rafael, Richmond dan Rodrigo sudah lama dalam pasukan, dah lebih daripada sebulan, jadi mereka sudah serasi sesama sendiri tetapi Oliveira yang baru seminggu sertai latihan mungkin memerlukan sedikit masa untuk serasi dan juga memahami apa yang hendak pasukan lakukan dalam perlawanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi Penang FC 2024/2025 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi di sini semalam.
Mengulas lanjut, Akmal Rizal gembira dengan prestasi ditunjukkan setiap pemain terutama dalam beberapa perlawanan pra musim sejak lebih dua bulan lepas dan yakin barisan yang diketengahkan pada musim ini mampu memberikan saingan terhadap pasukan lain sekali gus memperbaiki kedudukan musim lepas.
"Mereka sudah memahami apa yang diinginkan oleh saya dari segi corak permainan, taktikal pasukan dan saya gembira dengan prestasi setiap pemain yang sentiasa bersaing secara sihat untuk merebut tempat dan saya yakin yang kami akan mempamerkan persembahan terbaik bermula dengan perlawanan pertama nanti," katanya.
Menurut beliau, kemasukan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Mohamed Syamer Kutty Abba yang dipinjamkan kepada pasukan itu pada musim ini turut memberi impak yang cukup besar buat keseluruhan skuad Harimau Kumbang.
"Pengalaman beliau bersama JDT dan skuad kebangsaan telah diterapkan ke dalam pasukan, malah rakan-rakan sepasukan pun lebih yakin dengan adanya Syamer Kutty di barisan tengah yang banyak membantu pasukan terutama apabila kita bertahan dan menyerang," katanya.
Oliveira menyertai pasukan Harimau Kumbang pada 27 April manakala Mohamed Syamer, anak jati Pulau Pinang yang pernah menyarung jersi Harimau Kumbang pada 2016 dan 2017 sebelum ke JDT pada 2018, menyertai kembali Penang FC pada 12 April lepas.
Sebagai rekod, pada musim lalu, Harimau Kumbang menamatkan saingan Liga Super di tempat ke-10 dan mara ke suku akhir saingan Piala FA serta berjaya ke separuh akhir Piala Cabaran.
-- BERNAMA