Penampilan sulung atlet kun khmer Athachai buahkan hasil

Bernama
Mei 6, 2023 21:12 MYT
Atlet keturunan Thailand kelahiran Perlis itu menampilkan gerakan menarik dalam acara tarian Kun Kruk kategori 54 kilogram (kg). - Facebook / Majlis Sukan Negara Malaysia
PHNOM PENH: Penampilan kali pertama atlet negara dalam sukan tempur tuan rumah, kun khmer pada Sukan SEA 2023 di sini, membuahkan hasil apabila Athachai Saiphawat Kiang menghadiahkan pingat gangsa hari ini.
Biarpun beraksi di hadapan ratusan penyokong tuan rumah di Kompleks Sukan Morodok, ia tidak menghalang atlet keturunan Thailand kelahiran Perlis itu untuk menampilkan gerakan menarik dalam acara tarian Kun Kruk kategori 54 kilogram (kg).
Peserta tuan rumah Meng Hong Kan mengungguli acara berkenaan manakala atlet Vietnam Khamlar Samavong membawa pulang pingat perak.
Sementara itu, pengurus pasukan kun khmer negara Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri berharap kemenangan Athachai dapat menyuntik semangat rakan sepasukan yang lain bagi meraih pingat pada penampilan kali pertama mereka di temasya dwitahunan itu.
"Seperti sedia maklum, sukan ini dikuasai tuan rumah, Laos dan Vietnam. Namun atlet Malaysia mampu membuktikan kemampuan dengan meraih pingat," katanya bahawa wakil Malaysia lain akan meneruskan cabaran dalam kategori 54 dan 67 kg.
Kun khmer adalah sukan tradisi masyarakat Kemboja yang mirip kepada seni mempertahankan diri muay thai dengan menawarkan keseluruhan 19 pingat emas pada temasya kali ini.
-- BERNAMA
#Kun Khmer #athachai saiphawat kiang #pingat gangsa #Sukan SEA #Kemboja
;