Penampilan pertama Ronaldo bersama Al Nassr
Sinar Harian
Januari 17, 2023 11:00 MYT
Januari 17, 2023 11:00 MYT
BINTANG baharu kelab Liga Arab Saudi, Al Nassr, Cristiano Ronaldo buat pertama kali akan tampil dalam aksi pertunjukan Riyadh ST XI menentang gergasi Ligue 1 Perancis, Paris St Germain (PSG).
Bekas pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United itu akan mengetuai pasukan gabungan kelab Arab Saudi, Al Hilal dan Al Nassr berdepan kelab jagoan dunia dipacu bintang Argentina, Lionel Messi.
Kapten Portugal berusia 37 tahun itu akan membarisi pasukan yang turut diperkuatkan tonggak Arab Saudi, Salem Al-Dawsari, selain Saud Abdulhamid pada perlawanan tersebut.
Permintaan tiket untuk perlawanan berintensiti tinggi itu juga dilaporkan menerima tempatan tiket sebanyak 2 juta menerusi pembelian dalam talian bagi perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Riyadh.
Bekas bintang Juventus, Real Madrid dan Sporting Lisbon itu sebelum ini diikat gergasi Arab Saudi dengan kontrak sehingga 2025.
Untuk rekod, Ronaldo sebelum ini terlepas dua perlawanan domestik bersama Al Nassr selepas digantung Persatuan Bolasepak (FA) England kerana menjatuhkan telefon bimbit seorang penyokong pada April lalu. -SInar Harian