Penampilan paling cemerlang pada Sukan Asia 2018 - Nur Dhabitah

Bernama
September 1, 2018 05:00 MYT
Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri ketika beraksi dalam terjun papan anjal 1 Meter wanita akhir pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno pada Sabtu. - Foto BERNAMA
Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri menyifatkan kejayaannya meraih satu perak dan dua gangsa pada penampilan kedua Sukan Asia kali ini adalah yang terbaik sepanjang bergelar atlet kebangsaan.
Penerjun berusia 19 tahun itu meraih gangsa dalam acara 3m papan anjal individu dengan kutipan 330.75 mata pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, di sini, malam tadi.
Seorang lagi atlet negara, Wendy Ng Yan Yee pula menamatkan saingan di tempat kelima daripada 12 peserta setelah mengumpul 304.80 mata.
Dua penerjun China, Shi Tingmao dan Wang Han meraih pingat emas dan perak selepas masing-masing mengutip 389.40 dan 383.40 mata.
"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pencapaian saya pada kali ini berbanding pada 2014 di Incheon di mana saya gagal meraih pingat," kata Nur Dhabitah ketika ditemui media Malaysia selepas acara berkenaan.
Dalam pada itu, Nur Dhabitah mengakui agak sukar memberikan tentangan kepada dua penerjun China pada saingan hari ini, memandangkan mereka mempunyai trek rekod yang lebih baik, terutamanya dalam beberapa kejohanan dunia.
"Saya mampu buat lebih bagus dalam acara hari ini tetapi saya akui sedikit gementar kerana mahu memberikan yang terbaik dalam acara terakhir saya pada Sukan Asia kali ini," jelas anak jati Kuala Lumpur itu.
Nur Dhabitah sebelum ini meraih perak bersama Yan Yee dalam acara 3m papan anjal seirama selain satu gangsa bersama penerjun veteran, Leong Mun Yee dalam acara 10m platform individu.
Dalam pada itu, penerjun lelaki negara Jellson Jabillin menampilkan aksi mengecewakan pada penampilan sulung Sukan Asia setelah menduduki tangga kelapan daripada 10 penerjun dalam acara 10m platform individu dengan kutipan 385.05 mata.
Kuasa terjun dunia, China meraih emas dan perak dalam acara berkenaan menerusi Yang Jian dan Qiu Bo yang mencatat 579.10 dan 566.60 mata, manakala gangsa diraih atlet Korea Selatan, Woo Haram dengan kutipan 477.55 mata.
Secara keseluruhan, skuad terjun negara meraih satu perak dan tiga gangsa pada edisi ke-18 temasya sukan itu.
-- BERNAMA
#Jakarta #Malaysia #Nur Dhabitah #Palembang #sukan #Sukan Asia #Sukan Asia AWANI #terjun
;