Peminat mahu logo NBA ditukar kepada bayang Kobe Bryant
Agensi
Januari 28, 2020 08:33 MYT
Januari 28, 2020 08:33 MYT
PEMERGIAN legenda bola keranjang, Kobe Bryant yang maut dalam insiden helikopter terhempas pada Ahad terus diratapi ahli keluarga, rakan terdekat dan peminat di seluruh pelusuk dunia.
Terkini, peminat bintang berusia 41 tahun itu giat mempromosi petisyen yang meminta agar logo Persatuan Bola Keranjang Nasional (NBA) ditukarkan kepada imej Kobe.
Logo NBA kini mempamerkan bentuk bayang atau siluet bekas bintang L.A Lakers, Jerry West.
Dalam pada itu, petisyen Change.org dalam laman web memaklumkan: “Sila tandatangan petisyen ini untuk meletakkan imej Kobe Bryant dalam logo baharu NBA.”
Berikut antara reaksi peminat di laman Twitter:
Sehingga pagi Selasa, petisyen berkenaan sudah ditandatangani lebih setengah juta peminat Kobe.
Kobe maut dalam nahas udara di California apabila helikopter persendirian yang dinaikinya terbakar dan terhempas di bandar Calabasas.
Nahas turut mengorbankan lapan penumpang lain termasuk anak Bryant, Gianna Maria Onore, 13, yang dikenali sebagai GiGi.
Juara NBA lima kali itu beraksi bersama Los Angeles Lakers selama 20 tahun dan bersara pada April 2016.
Pencapaian terbaik Bryant dalam arena sukan adalah apabila diangkat sebagai pemain NBA paling berharga (MVP) pada 2008.
Bryant pernah merangkul Oscar untuk filem animasi pendek 'Dear Basketball' pada 2018.