Peminat kecewa Harimau Malaya rapuh diratah UAE

Fareez Azman
Jun 4, 2021 12:51 MYT
Tewas empat gol tanpa balas sudah tentu melunturkan semangat penyokong skuad Harimau Malaya yang mengharapkan kesudahan yang, jika tidak menang pun, sekurang-kurangnya "membanggakan". -Facebook / Football Association of Malaysia
PEMINAT sukan bola sepak tanah air sekali lagi kecewa dengan prestasi skuad Harimau Malaya.
Rata-rata mempertikaikan kesungguhan pemain apabila pasukan negara tumpas di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tengah malam tadi.
Tewas empat gol tanpa balas sudah tentu melunturkan semangat penyokong skuad Harimau Malaya yang mengharapkan kesudahan yang, jika tidak menang pun, sekurang-kurangnya "membanggakan".
Kekecewaan ini dirakam sebilangan besar peminat di laman media sosial mereka, dan tidak kurang juga di Facebook Kelab Penyokong Harimau Malaya.
Sumber Facebook harimaumalayadotcom
"Ketiadaan natural defensive midfield. Sepatutnya Akram Mahinan ada dalam squad ini. Azam ni playmaker bukan defensive midfielder (MD).
"Lepas Azam dikeluarkan, benteng pertahanan mudah terdedah dengan ancaman berbahaya," jelas entri itu lagi.
Sumber Facebook harimaumalayadotcom
Beberapa pemain naturalisasi, antaranya Guilherme de Paula, dilihat gagal memberikan aksi bermutu malah beberapa peluang di hadapan gawang gol gagal disempurnakan.
"De Paula gagal beri impak, banyak berjalan dan pemalas. Pengadil lagi banyak berlari daripada dia."
Sumber Facebook harimaumalayadotcom
Tiga gol dihasilkan UAE pada 10 minit terakhir tentunya membangkitkan amarah dalam kalangan peminat apabila benteng pertahanan negara seolah olah hilang arah.
Malah kombinasi Safawi Rashid dan tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh dilihat tidak berhasil.
"Safawi dan Sumareh nampak dah berkarat, prestasi mereka tidak seperti tahun 2019.
"Mereka perlu bangkit pada perlawanan seterusnya jika tidak mahu hilang tempat dalam kesebelasan utama," jelas entri itu lagi.
Bagi Azam Azfar pula, kekuatan aset dan disiplin pemain perlu diperhebatkan dalam perlawanan seterusnya.
"Kekuatan dan aset utama skuad negara adalah teknikaliti dan kepantasan yg dimiliki oleh pemain sayap (Sumareh, Pawi, Ariff, Luqman).
"So rugi la kalau taktikal sedia ada tak mampu nak keluarkan yg terbaik daripada pemain-pemain harapan ni.
"Dari sudut bertahan, kita sebenarnya dah ada plan yang baik, cuma isu yg besar ialah macam mana nak kekalkan konsistensi dan disiplin bertahan ni sepanjang 90 minit perlawanan," katanya lagi.
Bagi Shahril Anuar Ahmad pula, kalangan pemain pasukan negara dilihat bagai tiada roh dan semangat bermain untuk negara.
"Pernah tak team Malaysia terlibat dengan kem bina semangat.
"Roh dan semangat untuk bermain demi negara... berapa peratus? 100%, 120%, 150%, seluruh jiwa raga?"
Sumber Facebook shahril.anuar.908
#harimau Malaya #UAE #Kumpulan G #kelayakan Piala Dunia 2022 #Piala Asia 2023 #kalah empat gol tanpa balas #peminat kecewa #luah kekecewaan #Kelab Penyokong Harimau Malaya #pemain naturalisasi #Guilherme de Paula
;