Pemilihan Tan Cheng Hoe tiada unsur sabotaj - TMJ

Madiha Abdullah
April 3, 2017 09:20 MYT
TMJ menjelaskan, pemilihan Tan Cheng Hoe dibuat sendiri oleh Gomez tanpa pengaruh mana-mana pihak.
SELEPAS pelantikan Mario Gomez sebagai jurulatih Harimau Malaysia minggu lalu, nama jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, disebut-sebut bakal mengisi jawatan sebagai pembantu Gomez di kem pasukan kebangsaan.
Namun ia menimbulkan cakap-cakap belakang yang tidak sedap didengar, apabila ada yang mendakwa tindakan mengambil Tan Cheng Hoe sebagai satu cara untuk melemahkan pasukan Kedah yang kini cukup cemerlang dalam saingan Liga M.
Ia bagaimanapun dinafikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam satu kemas kini status di akaun Facebook rasmi FAM, malam tadi.
Baginda yang mesra disapa TMJ menjelaskan, pemilihan Tan Cheng Hoe dibuat sendiri oleh Gomez tanpa pengaruh mana-mana pihak.
Ia bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan prestasi luar biasa yang ditunjukkan Tan Cheng Hoe menerusi persembahan anak-anak buahnya dalam pasukan Kedah, yang setakat ini belum tewas dalam mana-mana perlawanan, baik Liga Super mahupun Piala FA.
"Mario sendiri menyatakan bahawa beliau berminat dengan Tan Cheng Hoe oleh kerana dalam ramai-ramai jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe adalah yang terbaik baginya.
"Tetapi ia terpulang kepada Tan Cheng Hoe untuk menerimanya atau tidak," titah baginda.
Dalam pada itu, TMJ turut meminta Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) tidak memanjangkan isu hukuman yang ingin dikenakan ke atas pasukan Pahang kerana tidak memasang lagu pasukan lawan dan tidak membenarkan penyokong lawan memasuki stadium ketika perlawanan Sabtu lalu.
Ujar TMJ, isu tersebut terlalu kecil untuk diberikan hukuman, sebaliknya, pendekatan berbincang dianggap lebih proaktif.
"Pada saya ia tidak perlu disiasat dan diambil tindakan. Cukup sahaja jika pihak PBNP, PBNJ dan FAM duduk semeja untuk selesaikan isu tersebut, dan pastikan isu tidak diingini seperti ini tidak terjadi lagi," tambah baginda.
Semalam, kekecohan timbul apabila terdapat ura-ura bahawa Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) akan dikenakan tindakan susulan tindakan mereka itu yang disifatkan tidak mempamerkan semangat kesukanan, ketika menentang pasukan Johor Darul Takzim di Stadium Darul Makmur, Sabtu lalu.
#Kedah #Pahang #Tan Cheng Hoe #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;