Pemilihan KOM esok bakal pilih kepimpinan baharu

Bernama
Jun 11, 2022 23:03 MYT
Penyandang Presiden Datuk SM Muthu bakal dicabar oleh mantan presiden merangkap Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim. - Gambar fail/Bernama/Facebook@Shahidan Kassim
KUALA LUMPUR: Ahli gabungan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bakal memilih pucuk kepimpinan baharu, sempena mesyuarat agung tahunannya pada esok.
Penyandang Presiden Datuk SM Muthu bakal dicabar oleh mantan presiden merangkap Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, manakala seorang lagi calon Nur Hayati Karim dilaporkan mahu menarik diri.
Muthu, yang dipilih sebagai presiden bagi penggal 2019-2022 selepas berjaya menewaskan 'gurunya' Karim Ibrahim, yang juga merupakan penyandang kerusi presiden ketika itu.
Shahidan juga bukan asing dalam arena olahraga apabila pernah memegang jawatan berkenaan dari 2006 hingga 2012, namun tewas kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika pemilihan bagi penggal 2013-2015.
Bagi pemerhati sukan tempatan Dr Pekan Ramli, barisan kepimpinan KOM yang bakal dipilih harus mengelakkan politikus dalam persatuan dan kepentingan diri, dengan pembangunan olahraga, menjadi keutamaan.
"KOM perlu melakukan transformasi secara besar-besaran untuk mengembalikan kegemilangan negara pada acara trek dan padang di peringkat Asia Tenggara dan Asia. KOM harus fokus untuk melahirkan atlet-atlet yang hebat, dengan memulakan pembangunan di peringkat akar umbi," katanya kepada Bernama.
Walaupun berjaya mencapai sasaran pingat emas di Sukan SEA Hanoi baru-baru ini, ia bukanlah pencapaian yang boleh dibanggakan berbanding jumlah seluruhan 47 pingat emas yang ditawarkan.
Tanpa mengira individu mana yang bakal membentuk kepimpinan KOM pada AGM esok, agenda pembangunan sukan olahraga dan kemajuan sukan itu harus menjadi kepentingan utama.
-- BERNAMA
#pemilihan KOM #Kesatuan Olahraga Malaysia #kepimpinan baharu #SM Muthu #Shahidan Kassim
;