Pemilihan AGM: Presiden Paralimpik lapor SPRM, dakwa wujud elemen rasuah
Bernama
Disember 13, 2024 23:30 MYT
Disember 13, 2024 23:30 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa wujudnya eleman rasuah dalam pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) badan induk itu menjelang Mesyuarat Agung Tahunan, esok.
Presiden Paralimpik Malaysia (MPM) itu dalam kenyataan memaklumkan laporan tersebut adalah bagi membolehkan SPRM menyiasat dua individu berpengaruh dalam bidang sukan negara yang didakwa telah menimbulkan amalan tidak sihat selain melanggar tataetika pemilihan AJK badan berkenaan.
“Saya membuat aduan kepada SPRM untuk membuka kertas siasatan terhadap dua individu tersebut bagi melindungi kepentingan, kedaulatan dan kesucian MPM daripada unsur-unsur rasuah, perkara-perkara negatif atau tidak sihat yang boleh memberi risiko kepada badan induk sukan para negara.
“Ini juga untuk memastikan ahli gabungan tidak bergelumang atau tidak terbabit dengan jenayah rasuah kerana setiap persatuan sukan kebangsaan adalah entiti awam,” katanya yang berharap perkara itu dapat disiasat dengan lebih lanjut oleh pihak SPRM.
Sementara itu, seorang daripada individu terbabit menafikan dirinya terlibat dalam kegiatan rasuah seperti dakwaan Megat D Shahriman dan bersedia disiasat oleh pihak SPRM.
“Saya terbuka sekiranya SPRM membuka kertas siasatan tetapi sekiranya siasatan SPRM tidak mempunyai sabitan apa- apa terhadap saya, saya akan lakukan tindakan yang sama mendakwa beliau memburuk-burukkan saya secara terbuka seperti ini.
“Saya yakin SPRM lebih mengetahui dakwaan-dakwaan seperti ini,” katanya yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam Majlis Sukan Negara.
-- BERNAMA