Pemergian Petrovski kehilangan besar buat Melaka United
Bernama
Mei 2, 2016 12:38 MYT
Mei 2, 2016 12:38 MYT
Pemergian mendiang Marco Stefan Petrovski, 18, yang merupakan antara watak penting dalam program pembangunan pemain muda Melaka United (MU) merupakan kehilangan yang amat besar buat skuad Sang Kancil.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata Petrovski, pemain kacukan Malaysia-Australia, amat berpotensi menjadi penjaga gol utama MU juga liga bola sepak negara dan kehilangannya amat dirasai seluruh pemain serta pegawai pasukan.
Idris yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United berkata persatuan itu, kerajaan negeri dan rakyat Melaka merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Petrovski.
"Laporan awal daripada doktor yang merawat (Petrovski) mengatakan (sebab kematian) kegagalan fungsi penting dalam badan Stefan (Petrovski), laporan yang memberi maklumat lengkap tentang kejadian ini akan disediakan.
"Pengurusan mayat (Petrovski), Melaka United akan main peranan sampai ke destinasinya seperti dimahukan ibu bapa Stefan sampai ke Australia dan semadikan di sana," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Petrovski di Hospital Melaka di sini lewat malam tadi.
Bedah siasat mayat penjaga gol itu dilakukan di Hospital Melaka.
Petrovski yang tidak sedarkan diri hampir sebulan akibat dipanah petir pada 5 April lepas selepas menjalani latihan dengan pasukannya di Krubong di sini, meninggal dunia di Hospital Pakar Putra di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.
Mendiang mewakili pasukan remaja Sydney Olympic FC di Australia sebelum menandatangani kontrak tiga tahun bersama Melaka United pada Januari lepas.