Pemergian Kim Pan-gon: Beri kebebasan untuk Pau Marti berkarya - Penganalisis sukan

Firdaus Azil
Julai 17, 2024 21:51 MYT
FAM harus memberi kebebasan sepenuhnya untuk Pau Marti ‘berkarya’, dan biarkan beliau menjelajah ke seluruh negara untuk mencari barisan pemain yang baharu bagi mengimbangi skuad sedia ada.
KUALA LUMPUR: Pemergian mengejut ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Kim Pan-gon, perlu ditangani dengan sebaiknya oleh pemangku, Pau Marti Vincente, dengan cabaran terbesar ialah mempersiapkan Harimau Malaya untuk menghadapi saingan dalam masa terdekat, iaitu Pestabola Merdeka.
Penganalisis sukan Astro ARENA, Zainal Abidin Rawop berpandangan, jika berpijak di bumi nyata, skuad negara masih berada di tahap yang sama, dan masih sukar menembusi kedudukan 100 terbaik dunia.
Tambahnya lagi, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus memberi kebebasan sepenuhnya untuk Pau Marti ‘berkarya’, dan biarkan beliau menjelajah ke seluruh negara untuk mencari barisan pemain yang baharu bagi mengimbangi skuad sedia ada.
"Paling penting kebebasan untuk dia berkarya, pilih pemain, tentukan arah tuju bola sepak. Paling penting di situ, baru kita dapat melihat sejauh mana keupayaan beliau sebagai jurulatih berwibawa.
"Tapi letaklah sesiapa saja sekali pun, tapi jika pemain tak dapat beri respons yang baik pun kita akan hadapi kekurangan. Pau Marti kena menjelajah seluruh negara lihat perkembangan.
"Saya khuatir dengan barisan pemain senior yang lebih usia 30an, tekanan bermain di peringkat antarabangsa dengan begitu kompetetif, dengan intensity tinggi menyebabkan pemain senior tidak dapat habiskan 90 minit permainan,” katanya lagi.
Pantau Agenda Reformasi: Bola sepak Malaysia selepas Kim Pan Gon
Pada Selasa, Pan-gon mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengendali skuad kebangsaan atas sebab-sebab peribadi yang enggan didedahkan.
Dalam sidang media khas di Wisma FAM, Pan-gon berkata, beliau telah mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, sebelum kedua-dua mereka mencapai persetujuan berhubung keputusannya itu.
Senada dengan Zainal Abidin, seorang lagi pengulas sukan negara, Karami Kamel berpandangan biarpun Pau Marti berstatus interim, namun beliau perlu diberi kebebasan untuk mencorak dan memilih pemain tersendiri.
“Kalau itu keputusan jurulatih, baik kita bersetuju dan sependapat bahawa itu yang terbaik untuk pasukan. Saya masih jangkakan Pau Marti ini akan berdpan dengan tugas sukar, kerana Pestabola Merdeka akan bermula September, ada lebih kurang dua bulan untuk siapkan pasukan.
“(Buat masa ini) tak pasti beliau akan teruskan corak permainan taktikal Kim Pan-gon, atau akan perkenalkan corak baharu. Jadi kita kena tunggu beberapa aksi persahabatan dulu, untuk kita tengok mampu atau tidak bawa Malaysia. Mungkin naik lebih tinggi. Atau corak permainan yang lebih menarik berbanding diamalkan Kim Pan-gon,” katanya lagi.
#Kim Pan-gon #Pau Marti Vincente #harimau Malaya #FAM
;