Pemergian Ishsam kehilangan besar buat arena bola sepak negara - PBMM

Sinar Harian
Februari 22, 2025 04:30 MYT
Mohd Firdaus (gambar kecil) berkata, seluruh warga komuniti PBMM turut berdukacita dan bersedih atas pemergian Ishsam (kanan) yang dihormati. - Foto Sinar Harian
PERSATUAN Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) menyifatkan pemergian bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perak, Ishsam Shahruddin satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negara.
Malah, Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ishsam yang juga ADUN Ayer Kuning, Perak tersebut.
“Kami seluruh warga komuniti PBMM turut berdukacita dan bersedih atas pemergian Allahyarham YB Ishsam yang kami hormati,” kata Mohd Firdaus kepada Sukan Sinar semalam.
Legenda skuad Kejor Yeop Kejor itu meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika mewakili Perak dalam perlawanan persahabatan Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang, semalam.
Ishsam, 59, sebelum itu diberikan rawatan awal di lokasi kejadian dilaporkan menghembus nafas akhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapat rawatan lanjut. - Sinar Harian
#Ishsam Shahruddin #bola sepak #ADUN Ayer Kuning #Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia
;