Pemenang pingat Olimpik Rio bakal dapat kereta Proton, ihsan dari DRB-Hicom
Azyyati Ahmad
Ogos 19, 2016 13:14 MYT
Ogos 19, 2016 13:14 MYT
Atlit negara yang berjaya membawa pulang mana-mana pingat dari kejohanan Olimpik 2016 di Rio bakal dihadiahkan sebuah kereta jenama Proton, ihsan dari syarikat DRB-Hicom.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom dan Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faisal Albar dilaporkan berkata, pemberian hadiah tersebut adalah bagi menghargai kemenangan yang diraih atlit negara.
“Atlit yang membawa pulang pingat emas akan dihadiahkan Proton Perdana 2.0, pingat perak akan mendapat Proton Suprima S.
“Manakala, pingat gangsa akan dihadiahkan Proton Iriz,” katanya dalam satu kenyataaan.
Setakat ini, pasangan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong telah memenangi pingat perak dalam acara terjun 10 meter seirama, manakala Chan Peng Soon dan Gan Liu Ying juga membanggakan Malaysia dengan pingat perak dalam acara beregu campuran badminton.
Sementara itu, dalam sukan berbasikal, Azizulhasni Awang turut berjaya membawa balik pingat gangsa kepada negara.
Malaysia dijangka akan membawa pulang pingat lagi dalam acara badminton.