Pemenang Olimpik Asia Tenggara terima tiket penerbangan percuma

Astro Arena
September 8, 2016 14:32 MYT
Jasa para atlet beraksi di pentas antarabangsa wajar diberikan pernghargaan, misalnya dengan hadiah istimewa daripada AirAsia. - Gambar fail
SERAMAI 21 pemenang pingat di Sukan Olimpik Rio 2016 dari Asia Tenggara, termasuk jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang dan penerjun, Cheong Jun Hoong, kini berada di Bangkok, Thailand, untuk menerima ganjaran tiket penerbangan percuma AirAsia.
Langkah baru untuk meraikan pemenang pingat di Sukan Olimpik Rio, Brazil 2016, AirAsia menerusi seluruh rangkaiannya di 120 destinasi akan memberikan hadiah tiket penerbangan secara percuma mengikut kategori pemenang.
Pemenang pingat emas akan menerima tiket penerbangan secara percuma seumur hidup, pingat perak untuk tempoh lima tahun dan pingat gangsa selama dua tahun.
Ganjaran tersebut akan disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, untuk semua 21 pemenang pingat dari Asia Tenggara.
Bagi wartawan, Jugjet Singh, jasa mereka beraksi di pentas antarabangsa layak untuk diberikan penghargaan.
"Bukan senang untuk layak ke Sukan Olimpik. Selepas layak pula, bukan senang untuk menang.
"Jadi mereka telah berjasa untuk negara dan selepas ini mereka boleh melancong ke 120 destinasi untuk berlatih atau mengambil bahagian dalam pertandingan untuk menjadikan mereka atlet yang lebih baik," jelas Jugjet.
Seorang lagi wartawan, Tan Chi Chung, melontarkan pandangan bahawa penghargaan ini merupakan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak dan berharap pemberian yang diterima bakal digunakan sebaik-baiknya menjelang temasya sukan yang akan datang.
"Ia merupakan situasi menang-menang, sama ada untuk AirAsia atau Olimpian. Kepada atlet, ini adalah persiapan yang terbaik untuk mereka menjelang Sukan SEA, atau Olimpik Tokyo 2020," ujarnya.
Bagi 120 destinasi dalam rangkaian meluas AirAsia dan AirAsia-X, mereka boleh terbang ke negara-negara Asia, Australia, Timur Tengah dan Afrika.
#AirAsia #Asia Tenggara #Olimpik Rio #pemenang pingat #Rio 2016
;