Pemegang tiket separuh akhir kedua Piala FA dibenar tukar tiket

Bernama
Jun 21, 2013 08:12 MYT
Pemegang tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor DT pada 28 Mei lepas boleh menebus tiket berkenaan dengan menukar tiket perlawanan Liga Super antara Pahang menentang Perak di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.
Naib Presiden I Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Datuk Dr Omar Othman berkata, PBNP telah membuat permohonan sebanyak 12,000 tiket bagi perlawanan Liga Super itu bagi membolehkan pemegang tiket 28 Mei lepas menukarnya.
"Mengikut rekod hanya 5,000 tiket yang ditukar dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA yang ditunda ke Stadium Nasional Bukti Jalil pada 1 Jun lepas.
"Selebihnya boleh menukar tiket berkenaan di pejabat PBNP mulai hari ini manakala beberapa kaunter khas pula akan dibuka di Stadium Darul Makmur bermula 10 pagi Sabtu ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, berdasarkan siasatan yang dilakukan mengenai insiden 28 Mei lepas mendapati tiada tiket palsu yang dikesan dijual pada perlawanan tersebut.
Omar berkata kesemua tiket yang digunakan pada perlawanan malam itu merupakan tiket yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Katanya, kekeliruan timbul apabila tiket simpanan yang juga dikeluarkan oleh FAM agak berlainan dengan tiket perlawanan malam itu menyebabkan timbul salah faham.
Sementara itu, faktor keselamatan dalam perlawanan Liga Malaysia di Stadium Darul Makmur akan ditingkatkan bagi menjamin keselamatan penonton.
"Kebiasaannya jumlah anggota keselamatan pada perlawanan Liga Malaysia hanya 250 orang dan saya akan mencadangkan jumlah itu digandakan kepada 500 orang," katanya.
Selain itu katanya, satu unit pemantau khas turut akan dicadangkan bagi membuat pemerhatian terhadap ulat-ulat tiket yang menjual tiket palsu.
Katanya, cadangan memberi imbuhan khas terhadap individu yang berjaya menangkap ulat-ulat tiket itu juga turut akan dipertimbangkan bagi mengelak penonton teraniaya.
#Datuk Dr Omar Othman #Johor DT #PBNP #Piala FA #tiket
;