Pembukaan rasmi Sukan SEA penuh warna-warni
Astro Arena
Jun 6, 2015 08:13 MYT
Jun 6, 2015 08:13 MYT
Upacara bermula dengan persembahan muzikal oleh Angkatan Tentera Singapura yang membentuk perkataan 'SEA GAMES' sebelum lagu kebangsaan 'Majulah Singapura' dimainkan sebaik ketibaan Presiden Singapura Dr Tony Tan Keng Yam dan isteri, Mary Chee Bee Kiang.
Upacara berwarna-warni dan menampilkan budaya menggabungkan kaum Melayu, Cina dan India melibatkan hampir 1,400 sukarelawan itu menjadi tumpuan, yang memaparkan keunikan etnik berbilang kaum republik itu serta keindahan flora dan fauna negara itu.
Nila, maskot rasmi Sukan SEA 2015 kemudian dibawa masuk ke stadium yang boleh memuatkan 55,000 penonton sebelum perarakan masuk atlet dari negara-negara yang mengambil bahagian pada temasya dwitahunan itu.
Kontinjen Malaysia yang diketuai chef-de-mission Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan pembawa Jalur Gemilang, Leong Mun Yee (penerjun wanita negara), dengan megah memasuki stadium yang menyaksikan atlet lelaki memakai baju Melayu berwarna kuning, manakala atlet wanita berpakaian baju kurung dengan jalur harimau serta berselendang.
Ia kemudian disusuli dengan ucapan oleh Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura, Lawrence Wong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2015, sebelum bendera Persekutuan Sukan SEA (SGF) dan bendera temasya sukan itu dinaikkan.
Pemain bola jaring Singapura, Micky Lin dan pemain ragbi, Mohammad Azhar Yusoff bersama-sama mendahului upacara membaca ikrar sebelum persembahan 3D selama 14 minit dengan pemantulan cahaya lampu LED melambangkan lima unsur berlainan bagi menggambarkan tema Sukan SEA 'Meraikan Kelainan'.
Obor temasya sukan itu kemudian, dinyalakan secara bersama oleh legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad dan anak lelakinya iaitu pemain bola sepak Irfan Fandi di Stadium Roar berhampiran Stadium Nasional, sebelum satu lagi persembahan bunga api yang mempesonakan di sekitar Hab Sukan Singapura melengkapkan upacara yang meriah itu.
Turut menyaksikan upacara pembukaan itu ialah Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin; Presiden Singapura Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching; menteri kabinet Singapura, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Hampir 7,000 atlet dari 11 negara akan berentap dalam 36 acara sukan pada temasya dwitahunan itu yang akan melabuhkan tirainya pada 16 Jun.