Beliau yang ditemui pemberita selepas upacara majlis pecah tanah projek Bandar Sukan JDT hari ini berkata, kerja pembersihan tapak telah pun dijalankan oleh pemajunya Forest City.
"Dari perancangan, kita jangka stadium ini dapat disiapkan dalam tempoh setahun setengah. Namun saya yakin dengan pembangunan yang dibuat Forest City, ia akan dapat dipercepatkan kepada tempoh setahun," katanya di sini.
Ilustrasi Stadium Sultan Ibrahim Larkin yang bakal menjadi mercutanda baharu yang moden di selatan tanah air. - Foto sumber Facebook Johor Southern Tigers
Stadium Sultan Ibrahim Larkin boleh menampung seramai 45,000 penonton pada satu masa dan dibina dengan kos kira-kira RM200 juta untuk menggantikan stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, yang akan diberikan khusus kepada pasukan JDT 2, manakala Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pula adalah digunakan untuk pasukan JDT 3 dan JDT 4.
Ismail berkata, stadium baharu di kawasan berkeluasan 28.3 hektar bakal dilengkapi kemudahan seperti hotel, apartmen, pusat beli-belah, padang sukan ragbi, gelanggang tenis dan futsal yang dibangunkan secara berperingkat di tanah berbaki seluas 16.2 hektar.
Upacara pecah tanah dirasmikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik pasukan JDT.
Turut berangkat isteri baginda Che Puan Khaleeda Bustamam dan adinda baginda Tunku Aminah Maimunah Iskandariah serta Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abd Latif Bandi.
Lakaran awal reka bentuk stadium baharu yang bakal dibina di Bandar Sukan JDT. - Foto sumber Facebook Johor Southern Tigers