Pembantu jurulatih Harimau Malaya: Tinggal dua nama calon
Sinar Harian
Februari 9, 2022 09:42 MYT
Februari 9, 2022 09:42 MYT
TEKA-teki mengenai pembantu kepada pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon hampir terjawab apabila dua calon telah disenarai pendek.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kedua-dua individu itu telah disenarai pendek daripada enam calon yang menghadiri temu duga yang dikendalikan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell.
Beliau memberitahu, kedua-dua calon berkenaan kemudiannya akan melalui proses temu duga bersama Pan-gon sebaik jurulatih kelahiran Korea Selatan itu tiba di negara ini pada minggu depan.
“Saya telah serahkan kepada TD (Pengarah Teknikal) dan pihak jawatankuasa untuk kendalikan sesi temu duga dan semuanya seramai enam orang yang ditemu duga baru-baru ini.
“Hasil temu duga berkenaan, saya diberitahu seramai dua calon telah disenarai pendek dan kedua-dua calon berkenaan akan ditemu duga sendiri oleh Pan-gon nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad di Sepang pada Selasa.
Sukan Sinar sebelum ini melaporkan dua pengendali tempatan yang mempunyai reputasi tinggi dalam bola sepak Malaysia, Zainal Abidin Hassan dan Mohd Azraai Khor Abdullah antara calon 'hangat' dikaitkan sebagai pembantu Pan-gon.
Beberapa nama lain turut disebut-sebut iaitu pengendali Sarawak United, E Elavarasan, Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain; Penolong Ketua Jurulatih Selangor FC; Mohd Nidzam Jamil dan Penolong Jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid.
Mengulas lanjut, Hamidin berkata, dua calon yang telah disenarai pendek itu adalah hasil keputusan yang dibuat O’Donell setelah selesai sesi temu duga baru-baru ini.
“Bagi saya, O’Donell adalah individu yang berpengalaman dan dia ada katakan kepada saya agar dua calon disenarai pendek selepas temu duga.
“Setelah disenarai pendek, kedua-dua calon berkenaan adalah antara calon yang berpengalaman. Kalau kata nama besar... semua ini (dua calon) ada pro license (lesen profesional).
“Bagi saya, di situlah benchmark (penanda aras pelantikan penolong jurulatih) dan yang selebihnya biarlah dia (O’Donell) yang buat pengumuman,” ujarnya.
Tugasan pertama Pan-gon dan barisan kejurulatihannya adalah memantau prestasi pemain pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 yang dijadualkan bermula hujung bulan ini sebelum mengendalikan kem latihan pusat skuad kebangsaan pada Mac.
Artikel asal di Sinar Harian