Pembangunan bola sepak: Sejauh mana pengaruh akademik?
Madiha Abdullah
September 14, 2016 09:02 MYT
September 14, 2016 09:02 MYT
APABILA membincangkan isu pembangunan bola sepak, perkara pertama yang lazimnya menjadi fokus adalah pembinaan kemahiran pemain.
Dalam aspek ini, jarang dapat dilihat akademik juga wajar diberi perhatian sama.
Ini kerana pembangunan bola sepak itu bersifat holistik dan tidak terhad kepada satu aspek semata-mata.
Memperkatakan tentang kepentingan akademik kepada pembangunan bola sepak, Pengarah Program Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, stigma bahawa sukan mengganggu prestasi akademik terlebih dulu perlu dikikis.
“Prinsip kami, sukan itu tak mengganggu pelajaran, mesti ada keseimbangan.
“Kami tak pernah beritahu pelatih, jangan belajar, main bola sahaja. Tidak pernah begitu,” kata Safirul.
Biarpun sasaran jangka panjang mereka adalah memperbaiki kualiti bola sepak tempatan, NFDP tetap komited dalam memastikan tiada pelatih mereka tercicir dalam pelajaran.
Seorang guru akan dibawa bersama untuk membolehkan sesi pembelajaran diteruskan, walaupun ketika berada di luar negara.
Bola sepak, kata Safirul, bukan sahaja memerlukan kecergasan fizikal, malah turut memerlukan kecerdasan berfikir dan kreativiti, yang kebiasaannya dilatih melalui pembelajaran dalam kelas.
"Pelatih yang bagus dalam kelas, biasanya bagus di padang juga.
"Bola sepak adalah platform menyelesaikan masalah. Kalau dia mampu selesai masalah dalam akademik, dia juga mampu selesai masalah dalam padang.
“Bola sepak bukan sekadar fizikal, tetapi juga membabitkan minda," tambahnya.
Menyifatkan kapten pasukan bawah 14 tahun, Alias sebagai contoh terbaik, Safirul berpendapat taraf akademik mempengaruhi sikap atau personaliti seseorang individu, termasuk pemain ketika di padang.
Alias, kata Safirul, bukan sahaja menunjukkan prestasi dan sikap kepimpinan yang sangat baik di dalam padang, malah turut cemerlang dalam pelajaran apabila berjaya memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Kelayakan akademik juga akan memberi pilihan luas untuk pemain, terutama jika dia mahu terbabit dalam pengurusan.
"Kita perlu pastikan kita turunkan ilmu bola sepak dari segala segi sebab kita tak tahu sama ada seseorang pemain itu akan jadi profesional atau tidak.
“Pemain perlu digalakkan untuk belajar perkara lain,seperti pengurusan bola sepak, pengurusan padang dan fisioterapi yang mungkin boleh membantu mungkin jika dia cedera dan tak boleh terus bermain,” ujar Safirul.
KERJASAMA INSTITUSI PENDIDIKAN
Begitupun, untuk melahirkan DNA bola sepak yang berintelek, ia memerlukan kerjasama banyak pihak, khususnya institusi pendidikan.
Hakikatnya, kekangan masa menjadi masalah utama untuk anak muda yang berminat dalam bola sepak, untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, biarpun berkelayakan.
Ini kerana mereka perlu memberi komitmen tinggi kepada sesi latihan dan jadual perlawanan, dan ia akan menjadi dua kali ganda lebih berat apabila dipilih mewakili negara.
Buat masa ini, hanya Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dilihat memainkan peranan sepenuhnya dalam memenuhi kehendak itu.
Ia sedikit sebanyak mampu memberi lebih opsyen kepada anak-anak muda yang mahu mengejar cita-cita sebagai pemain profesional, tanpa perlu mengorbankan pelajaran.
Lima pasukan bola sepak yang ditubuhkan membuktikan kesungguhan UiTM dalam membangunkan bola sepak tempatan.
Salah satu daripadanya adalah UiTM FC, yang kini bersaing dalam Liga Perdana.
Bagi Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad, pembangunan setiap jenis sukan memerlukan sokongan institusi pengajian tinggi kerana di sinilah potensi seseorang itu digilap sepenuhnya.
"Beberapa universiti tempatan sudah mula menawarkan program akademik sukan dengan tujuan melahirkan teknokrat sukan.
“Kalau boleh kita nak tengok organisasi sukan ditadbir oleh mereka yang mempunyai latar belakang akademik, supaya ia boleh diuruskan dengan lebih profesional,” katanya.
Ini kerana, pembangunan sukan turut memerlukan tenaga pakar yang memiliki bukan sahaja minat, tetapi keupayaan intelek yang baik.
Turut berkongsi aspirasi ialah Dr.PB Ashok, penyelaras program Pengajian Bola Sepak (Football Studies), Kolej Antarabangsa Cyberlynx, Kuala Lumpur.
Menjadi satu-satunya institusi pengajian tinggi di Malaysia yang menawarkan kursus tersebut sejak 10 tahun lalu, ia diharap dapat melonjak kualiti bola sepak tempatan setaraf kuasa besar bola sepak dunia.
“Kita perlu beritahu anak-anak muda yang karier bola sepak tidak berakhir selepas usia 35. Anda boleh terus berada dalam bidang bola sepak sebagai jurulatih, pengadil, pengurus malah pemilik kelab bola sepak.
Tetapi berbuat demikian, anda kena ada ilmu,” tegas Dr Ashok.
Keyakinan Dr Ashok itu dibuktikan dengan kejayaan kolej tersebut membentuk ramai penggiat bola sepak yang terbabit dalam sukan berkenaan bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara juga.
Bakal mengikuti jejak pelajar-pelajar sebelum ini, Joshua Sathiapatham, lulusan Diploma Pengajian Bola Sepak bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di United Kingdom, tidak lama lagi.
Joshua berpendapat, salah satu sebab bola sepak di Malaysia masih di takuk lama adalah kerana pemikiran orang ramai dan penggiat bola sepak sendiri, yang melihat sukan itu sebagai hanya sukan semata-mata.
“Bola sepak adalah perniagaan yang menguntungkan. Di England, ia membantu ekonomi, ekonomi secara keseluruhan.
“Tetapi di Malaysia, kita fikir ia tiada kepentingan. Kalau kita sedar kepentingannya, ia boleh membantu memajukan negara,” katanya.
Akademik, kata Joshua, akan membuka fikiran penggiat bola sepak kepada kepentingan memperluaskan skop sukan itu.
Generasi bola sepak berintelek diharapkan akan membentuk budaya sukan itu yang lebih berdaya saing, di masa hadapan.