Pematuhan SOP penonton di Stadium Sultan Ibrahim jadi kayu ukur

Astro Awani
April 3, 2021 08:33 MYT
Reezal Merican bersama pegawai dari Jabatan KDNKA Bukit Aman dan MKN memantau pematuhan penonton terhadap SOP yang ditetapkan pihak berkuasa bagi perlawanan JDT bertemu Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. --fotoBERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) oleh penonton yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi, membuka laluan kepada stadium lain di seluruh negara untuk menerima kehadiran penonton.
Menurut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sikap penonton yang hadir menyaksikan perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United itu menjadi kayu pengukur untuk perkara itu pada masa depan.
Katanya, stadium tersebut mempunyai blok yang mudah diurus dan dari segi SOP, banyak pihak terlibat bagi memastikan segalanya dipatuhi.
Antara lain, SOP yang ditetapkan adalah, hanya 2,000 penyokong dibenarkan berada di dalam stadium bagi setiap perlawanan di dalam negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pada perlawanan malam tadi, Stadium Sultan Ibrahim menempatkan seramai 260 pihak berkuasa, termasuk marshall, bagi membantu proses berjalan lancar.
"Yang beraksi pada hari ini bukan pemain. Pemain memang berada dalam gelembung sukan. Tetapi yang beraksi adalah penonton, sama ada mereka 'behave', patuh.
"Kalau kita tengok pada hari ini, Alhamdulillah, kejayaan cukup cemerlang bermula di JDT, InsyaAllah ia jadi laluan pembukaan kepada stadium lain untuk beraksi," kata Reezal Merican.
Beliau turut meminta pihak JDT dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuat dokumentasi SOP agar dapat menjadi rujukan pada masa akan datang.
"Meyakinkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang sukan berbeza dgn MKN. Kita ambil langkah berhati-hati. Jika ada PKP akan datang, dia tak tanya, dia boleh nampak, dapat lihat, rasai sendiri.
"Kadang-kadang apabila berbincang di dalam bilik, imaginasi cerapan tidak ada. Apabila duduk di sini, mereka nampak, dapat merasai semarak semangat luar biasa, detik kebersamaan JDT bersorak. Ini yang kita hilang sekian lama," katanya.
Stadium Sultan Ibrahim adalah lokasi pertama pelaksanaan SOP Protokol Pengurusan Penonton.
Selepas ini, ia akan dilaksanakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras membabitkan perlawanan antara Kuala Lumpur FC menentang Sabah FC pada Sabtu.
Dua perlawanan tersebut dibenarkan sebagai percubaan atau Proof of Concept (POC) untuk menilai keberkesanan protokol berkenaan.
Antara anggota keselamatan yang terlibat memantau pematuhan SOP oleh penonton ialah polis, anggota marshall Kelab Bolasepak JDT dan Sport Bubble Volunteer daripada KBS.
Selain itu, perjalanan proses turut dipantau Reezal Merican sendiri bersama sejumlah pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dan MKN.
#Reezal Merican Naina Merican #Johor Darul Takzim #JDT #SOP #pematuhan #Stadium Sultan Ibrahim #penonton #POC #kayu ukur #bola sepak #Majlis Keselamatan Negara #perintah kawalan pergerakan bersyarat #KBS #sukan #polis #PKPB #keselamatan
;