Pemandu ambulans tonton perlawanan, Faramola terlambat digegas ke hospital
Muhafandi Muhamad
Jun 14, 2015 17:32 MYT
Jun 14, 2015 17:32 MYT
Susulan pemain T-Team, David Faramola Aniya yang meninggal dunia ketika perlawanan persahabatan antara Kelantan dan T-Team di Stadium Sultan Muhamad IV Kota Bharu malam tadi.
Pengurusan T-Team melahirkan kekecewaan susulan insiden berkenaan kerana dakwa mereka, standard prosedur operasi (SOP) dalam membantu pemain yang mengalami kecederaan dilihat masih perlu dibaiki dan terdapat kelemahan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kelab T-Team, Mohd Shahrizan Mohd Zain, yang mengulas mengenai insiden berkenaan menjelaskan, Faramola rebah pada minit pertama sekitar jam 8.58 malam.
Namun, mangsa dibawa ke hospital 9.15 malam setelah pihak pengurusan mendapatkan pemandu ambulans yang ketika itu dikatakan berada di tempat duduk penonton dan turut sama menyaksikan perlawanan tersebut.
“Kebetulan saya berada di tempat duduk astaka pada masa kejadian minit ketiga perlawanan. Persediaan dari segi pengurusan kecederaan pemain melibatkan hal yang serius dilihat agak tidak lancar.
“Semalam, driver jauh daripada ambulans bila insiden itu berlaku. Dia ambil masa (untuk kembali ke ambulans). Mungkin kita boleh baiki hal tersebut,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Mohd Shahrizan Mohd Zain.
Katanya, sekiranya Faramola dapat dibawa dengan kadar segera ke hospital, berkemungkinan nyawanya dapat diselamatkan.
Selain itu, turut dicadangkan supaya pada masa akan datang pegawai perubatan atau doktor berpengalaman dapat disediakan di lokasi bagi mengendalikan kes seumpamanya. Itu bagi memastikan bantuan sewajarnya.
Mohd Shahrizan menjelaskan, proses bedah siasat Faramola sudah selesai malam tadi dan jasad beliau masih berada di unit forensik Hospital Raja Permpuan Zainab II Kota Bharu bagi menunggu urusan menuntut jasad yang akan dilakukan oleh agen beliau.
Agen Faramola dijangka tiba di Kelantan sama ada esok atau lusa.
Mayat Faramola akan dibawa pulang ke negara asalnya untuk proses pengebumian.
Kes melibatkan Faramola yang dipercayai mengalami serangan jantung dan meninggal dunia merupakan yang pertama berlaku di negara ini dan pihak FAM seharusnya melihat SOP pengurusan kecemasan di padang bola sepak.
Pemain import pasukan T-Team itu meninggal dunia ketika perlawanan persahabatan antara pasukan kelab dari Terengganu itu dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.
Pemain kelahiran Nigeria berusia 30 tahun itu tiba-tiba jatuh pada minit ketiga perlawanan sebelum dibawa oleh pasukan paramedik untuk mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.