Pemain senior perlu jadi model yang baik - Weigang
Astro Arena
September 14, 2016 07:07 MYT
September 14, 2016 07:07 MYT
JURULATIH Perak, Karl Heinz Weigang, mahu pemainnya lebih fokus dalam menghadapi dua baki perlawanan Liga Super walaupun secara teknikalnya Perak akan kekal di pentas itu musim hadapan.
Menurut Weigang, permainan kurang bermutu dipamerkan pemain, terutama dalam tiga perlawanan terakhir Perak.
"Perlawanan dengan Kedah tempoh hari begitu mengecewakan tapi apa yang saya dapat katakan, pasukan Jelapang Padi ini adalah pasukan yang lengkap dari semua aspek.
"Pasukan Kedah adalah pasukan yang baik dalam kancah bola sepak Malaysia yang pernah saya saksikan selain JDT (Johor Darul Ta'zim)."
Weigang menggunakan khidmat beberapa pemain daripada skuad Piala Presiden.
Nyata mereka gugup apabila berhadapan sorakan penonton di tempat lawan kerana sebelum ini, mereka hanya berpengalaman berhadapan dengan penonton yang kecil bilangannya.
"Ini mungkin salah satu faktor pemain saya gagal mengawal permainan. Tapi apa yang pasti, pemain senior gagal membimbing dan menjadi model kepada pemain junior,"
katanya lagi.
Perak akan bertemu Selangor di Shah Alam pada 24 September ini.