Pemain remaja maut terkena sepakan
Sinar Harian
Mac 26, 2024 11:00 MYT
Mac 26, 2024 11:00 MYT
MALANG menimpa seorang pemain bola sepak remaja berusia 17 tahun apabila menemui ajal akibat terkena sepakan di bahagian perut dalam satu perlawanan.
Wassim Jazzar dari kelab amatur Algeria, mengalami kecederaan itu ketika bertembung dengan pemain pertahanan lawan.
Kejadian berlaku ketika dia cuba mengeluarkan bola dan secara tidak sengaja ditendang di perut oleh pemain lawan sebelum rebah di atas padang.
Permainan kemudian dihentikan dan para pemain kedua-dua pasukan mengerumuninya untuk memberi bantuan.
Wassim selepas itu terpaksa dikejarkan ke hospital dengan kereta awam kerana menurut media tempatan tiada ambulans atau doktor di sekitar kawasan tersebut.
Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia dengan 'sepakan maut' itu didakwa sebagai punca kematian.
Media Algeria pula melaporkan bahawa Wassim meninggal dunia sejurus selepas terkena sepakan itu.
Berita sedih itu menyusul selepas arena bola sepak Colombia dikejutkan dengan pemergian Guillermo Beltran yang tumbang ketika latihan.
Penyerang Real Santa Cruz itu mengadu pening dan mual sebelum rebah pada Jumaat lalu. - Sinar Harian