Pemain pilihan utama Djokovic layak ke suku akhir tenis Terbuka AS

Bernama
September 7, 2021 21:13 MYT
Djokovic yang tewas set pertama bangkit semula untuk memenangi tiga set seterusnya. - Gambar/ AP
NEW YORK: Pemain pilihan utama Novak Djokovic menewaskan pemain nombor 99 dunia, Jenson Brooksby dari Amerika Syarikat (AS) 1-6, 6-3, 6-2, 6-2 dalam pusingan keempat tenis Terbuka AS perseorangan lelaki pada Isnin, lapor Xinhua.
Pencabar muda dari AS itu menunjukkan keyakinannya dan memenangi set pertama ketika berdepan Djokovic, juara perseorangan dunia sebanyak 20 kali.
"Jenson bersemangat, beliau memiliki strategi yang jelas, serta melakukan semua serangan dengan cekap, dan saya benar-benar ketinggalan.
"Saya hilang rentak, buat banyak kesalahan yang tidak sepatutnya dan dia dapat membaca strategi saya dengan baik di peringkat awal," kata Djokovic mengulas rentak permulaan permainannya yang perlahan.
Bagaimanapun, pemain nombor satu dunia itu bangkit semula untuk memenangi tiga set seterusnya.
"Dia masih muda, sangat berbakat dan mempunyai masa depan sangat cerah," kata Djokovic selepas berjaya melangkah ke pusingan suku akhir.
-- BERNAMA
#Novak Djokovic #Jenson Brooksby #Terbuka AS #tenis
;