Pemain Perak, PDRM positif ujian doping

Astro Arena
Jun 13, 2016 22:35 MYT
ABDUL AZIZ: Ujian ini adalah ujian biasa seperti makmal antarabangsa dan jelas didapati kedua-dua pemain ini telah melanggar peraturan AFC antidoping 2015.
TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Abdul Aziz Yeop, hari ini mendedahkan dua pemain tempatan didapati positif ujian doping, masing-masing mewakili pasukan Liga Super Perak dan PDRM.
Dua pemain terbabit didapati mengambil bahan terlarang, D-methamphetamine.
Ia dikesan hasil ujian yang dilakukan oleh unit antidoping FAM ke atas kedua-dua pemain itu selepas perlawanan Liga Super di antara Perak dan PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka, 4 Mei lalu.
Menurut Aziz, keputusan itu adalah sah dari segi antidoping Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
"Ujian ini adalah ujian biasa seperti makmal antarabangsa dan jelas didapati kedua-dua pemain ini telah melanggar peraturan AFC antidoping 2015.
"Sekiranya pemain meragui keputusan tersebut, mereka berhak memohon untuk membuat ujian pada sampel B. Kami beri masa sampai 16 Jun dengan memaklum kepada FAM untuk melakukan ujian sampel B," katanya.
D-methamphetamine adalah sejenis dadah perangsang yang tersenarai dalam bahan larangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).
Pemain dan pegawai berhak untuk melihat ujian sampel B yang akan dijalankan kemudian dengan segala kos tanggungan masing-masing.
"Pemain ini akan digantung sementara oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM sehingga satu keputusan yang sahih diperolehi.
"Identiti itu tidak didedahkan dahulu. Biar kita beri tempoh untuk dia membuat rayuan dan sebagainya di atas keputusan itu. Mungkin pemain itu akan diumumkan setelah Jawatankuasa Tatatertib memanggil kedua-dua pemain tersebut," tambahnya.
Beliau turut mendedahkan, kali terakhir kes yang melibatkan pemain menggunakan bahan terlarang adalah pada 2013 membabitkan perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Bagi kesalahan pertama di bawah peraturan WADA, pemain boleh dikenakan penggantungan empat tahun.
#Abdul Aziz Yeop #berita sukan #Jawatankuasa Tatatertib FAM #Liga Super #PDRM #pemain bola sepak #Perak #ujian doping
;