Pemain negara bermula baik di Terbuka Australia

Bernama
Jun 8, 2016 21:43 MYT
Iskandar Zulkarnain mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Brice Leverdez dari Perancis hari ini. - fotoBERNAMA/Fail
Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Perancis, Brice Leverdez pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney hari ini.
Juara kebangsaan tahun lepas itu mengambil masa 30 minit untuk menyingkirkan Leverdez 21-12, 21-14 untuk menempah pertemuan dengan Sho Sasaki dari Jepun yang mengenepikan pemain Taiwan, Hsu Jen Hao 21-14, 21-12.
Pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli turut cemerlang apabila mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan pemain Australia, Anthony Joe 21-13, 21-6.
Bekas juara remaja dunia itu akan berdepan cabaran sengit daripada pemain nombor satu dunia dari China, Chen Long yang terdahulu menang mudah ke atas Huaidong Tang dari Australia 21-3, 21-4.
Tee Jing Yi dan Goh Jin Wei juga mempamerkan aksi cemerlang apabila mara ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing-masing, pada pusingan pertama perseorangan wanita hari ini.
Jing Yi mengambil masa 37 minit sebelum menewaskan pemain tuan rumah, Wendy Chen Hsuan-Yu 21-18, 21-11 manakala Jin Wei pula mengenepikan Michelle Li dari Kanada 21-18, 21-10.
Dalam pada itu, beregu lelaki negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong mengalahkan pasangan dari India, Nikhar Garg/M. Anilkumar Raju 21-12, 21-10.
Beregu profesional negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong pula diheret ke set penentuan sebelum mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan pasangan Belgium, Matijs Dierickx/Freek Golinski 21-16, 16-21, 21-13.
Turut mara, gandingan Nur Mohd Azriyn Ayub/Jagdish Singh yang menewaskan pasangan Australia, Cham Chen/Sagar Kumar 21-15, 21-6.
Pasangan wanita tunggal negara, Vivian Hoo/Woon Khe Wei tidak mengalami kesukaran untuk menyingkirkan pasangan tuan rumah, Rainbow Ngai/Jennifer Tam 21-9, 21-7, namun bakal berdepan tugas berat apabila berdepan pilihan ketiga, Tang Yuanting/Yu Yang dari China pada pusingan kedua nanti.
Sementara itu, dua pasangan beregu campuran negara juga mengesahkan tempat di pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing-masing.
Tan Kian Meng/Lai Pei Jing mengenepikan pasangan tuan rumah, Sawan Serasinghe/Setyana Mapasa 21-18, 21-16, manakala Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang diletakkan selaku pilihan ketujuh, menewaskan Robin Middleton/Leanne Choo dari Australia 21-19, 21-17.
Kian Meng/Pei Jing akan berdepan cabaran sukar menentang pasangan pilihan keempat dari China, Liu Cheng/Bao Yixin, manakala Peng Soon/Liu Ying akan bertemu gandingan Hong Kong, Reginald Lee Chun Hei/Hau Hoi Wah.
#Iskandar Zulkarnain Zainuddin #Kejohanan Badminton Terbuka Australia
;