Pemain naturalisasi: Jangan tangkap muat lagi, kata Dollah

Astro Arena
Ogos 19, 2021 07:33 MYT
DOLLAH: Kita tangkap muat sebab mereka berbadan besar, sebab kebanyakan pemain naturalisasi memiliki kelebihan fizikal, bukan berdasarkan kemampuan mereka. - Gambar fail/Facebook Sri Pahang FC
BEKAS jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh, yang mengharapkan pemilihan lebih teliti akan dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) andai projek pemain naturalisasi kembali selepas ini.
Jika ia demi kepentingan bola sepak negara, keputusan untuk menghentikan seketika projek itu membawa kepada pelbagai persoalan.
Walaupun FAM memiliki alasan tersendiri tetapi ramai yang menganggap kelibat tiga pemain naturalisasi negara -- Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh -- dalam Kelayakan Piala Asia 2023 memainkan peranan besar atas langkah dasar diambil FAM ketika ini.
"Kita tangkap muat sebab mereka (pemain naturalisasi) berbadan besar, inilah kelemahan kita. Ini disebabkan kebanyakan pemain naturalisasi memiliki kelebihan fizikal, bukan berdasarkan kemampuan mereka," kata Dollah.
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, pula mengangggap keputusan badan induk itu adalah tindakan tepat.
Begitupun, perlu ada perincian kerana kehadiran pemain naturalisasi dalam pasukan adalah keperluan demi perkembangan skuad negara.
Malah, dia menegaskan projek ini perlu diteruskan dan diperhalusi dalam menawarkan pemain yang akan diberi kewarganegaraan.
"(Belum dipertimbangkan dengan mendalam) adakah mereka ini sesuai?
"Adakah tahap mereka lebih tinggi daripada pemain tempatan atau posisi manakah jurulatih mahu gunakan khidmat mereka ini," kata Pengarah Teknikal Sarawak United itu pula.
#Dollah Salleh #bola sepak #FAM #Persatuan Bolasepak Malaysia #jurulatih #pemain naturalisasi #Peranan #dasar #tangkap muat #PJBM #B Sathianathan #kewarganegaraan #berbadan besar
;