Pemain mungkin berbuka dengan minuman sahaja
Astro Arena
Jun 19, 2015 16:59 MYT
Jun 19, 2015 16:59 MYT
Beraksi di bulan Ramadan pastinya memberi sedikit cabaran kepada pemain-pemain, khususnya dari pasukan Liga Perdana yang terpaksa bermain di waktu siang.
Mereka terpaksa beraksi seawal jam 4.45 petang untuk beberapa perlawanan tanpa makan dan minum, bagi melangsaikan jadual yang masih berbaki 12 perlawanan.
Pun begitu, bermain selepas berbuka puasa bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang disangka. Setiap pemain harus membuat perancangan diet yang betul dengan tidak memakan makanan yang berat sebelum beraksi.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut membuat perubahan jadual dimana perlawanan yang lazimnya bermula pada jam 8.45 malam dipinda ke jam 9.45 malam. Bagaimanapun, perlawanan yang melibatkan venue Stadium Jalan Besar, pemain terpaksa beraksi sejam lebih awal iaitu pada jam 8.30 malam.
Bagi Pengendali baru Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hamid Ramli, berdepan berdepan juara Piala FA LionsXII di Stadium Jalan Besar Sabtu ini adalah satu ujian besar.
Dalam laporan Harian Metro, Hamid berkata: “Kami sudah membuat permohonan kepada tuan rumah untuk melewatkan sedikit sepak mula perlawanan agar memberi ruang kepada pemain untuk menikmati juadah berbuka.
“Tetapi, ia ditolak oleh pasukan tuan rumah, jadi pemain kami mungkin hanya akan minum sahaja bagi membolehkan pemain berbuka puasa. Kami sudah mendapatkan khidmat pakar pemakanan untuk membantu pasukan,” katanya.
Pun begitu, Hamid berkata ia tidak boleh menjadi alasan untuk pemainnya beraksi sambil lewa di gelanggang itu, malah mengharapkan kemenangan.