Pemain muda ping pong negara sedia berikan aksi terbaik - Ketua Jurulatih
Astro Arena
Februari 23, 2016 16:00 MYT
Februari 23, 2016 16:00 MYT
KETUA jurulatih ping pong negara, Beh Lee Wei tidak tertekan mempertaruhkan pemain muda dalam Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia 2016, meskipun sedar negara bakal berdepan pasukan yang mendominasi ranking dunia.
Hanya dua orang pemain senior yang bakal beraksi dalam kejohanan berpasukan dunia, iaitu Muhd Shakirin Ibrahim dan Ng Sock Khim.
Tidak dinafikan sandaran tinggi diletakkan kepada mereka berdua, tetapi buat pemain muda, Lee Wei mahu mereka manfaatkan peluang sebaiknya menentang pemain terbaik dunia.
Malah, latihan selama dua minggu di China bulan lalu banyak membantu pemain negara untuk memperbaiki kelemahan sebelum berdepan pesaing 28 Februari ini.
"Malaysia untuk bersaing agak sukar tetapi mereka mampu untuk berikan aksi yang terbaik," kata Lee Wei.
Dalam pada itu, Sock Khim selaku pemain berpengalaman turut berperanan membantu rakan sepasukan lain untuk tidak gentar apabila beraksi kali pertama dalam divisyen 1 lebih-lebih lagi bakal berdepan pasukan nombor satu dunia, China dalam kumpulan A.
"Kali ini kami berdepan dengan pesaing dalam kelas yang lebih tinggi, saya berharap latihan kami di China tempoh dapat membantu kami," ujar Sock Khim.