Pemain muda negara tunjuk belang di India, Sweden
Bernama
Januari 23, 2022 23:46 MYT
Januari 23, 2022 23:46 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia menjadi tumpuan, barisan pemain muda kebangsaan mencipta kejayaan bersejarah di dua kejohanan antarabangsa hari ini.
Pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Anna Ching-Teoh Mei Xing masing-masing merangkul gelaran sulung bagi musim 2022 pada Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2022 di Lucknow.
Pada aksi final di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das, Wei Chong-Kai Wun selaku pilihan keenam memerlukan 33 minit untuk mengecewakan wakil tuan rumah Krishna Garaga-Vishnuvardhan Panjala 21-18, 21-15 untuk muncul juara beregu lelaki.
Sementara Anna-Mei Xing, pilihan kelapan kejohanan, mengesahkan kejuaraan selepas menamatkan 32 minit perlawanan juga menewaskan pasangan tuan rumah Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 21-12, 21-13 untuk meraih gelaran juara beregu wanita.
Pada masa sama, gelaran juara turut diraih pemain perseorangan lelaki Kok Jing Hong pada Terbuka Sweden 2022 selepas rakan sepasukan Yeoh Seng Zoe menarik diri, susulan kecederaan pada final di IFU Arena di Uppsala.
Susulan kejayaan itu, menyaksikan Jing Hong meraih gelaran pertamanya di pentas antarabangsa.
Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi pasangan Chia Weijie-Low Hang Yee di Sweden apabila terpaksa berpuas hati selepas tewas kepada gandingan Singapura Danny Bawa Chrisnanta-Andy Kwek 13-21, 21-23 pada aksi akhir acara beregu lelaki.