Pemain muda Malaysia menang tiga kejuaraan di Terbuka Poland

Bernama
Mac 28, 2021 23:42 MYT
Ng Tze Yong mengejutkan pilihan kedua, Pablo Abian selepas pertarungan selama 52 minit. - Stadium ASTRO
KUALA LUMPUR: Pemain muda badminton Malaysia memenangi tiga kejuaraan, dalam acara perseorangan lelaki, beregu campuran dan beregu lelaki pada Terbuka Poland 2021 yang berlangsung di Gniezno, hari ini.
Pemain berusia 20 tahun Ng Tze Yong mengejutkan pilihan kedua, Pablo Abian berusia 35 tahun dari Sepanyol 21-19, 21-11 selepas pertarungan selama 52 minit bagi merebut kejuaraan perseorangan lelaki kejohanan itu.
Pablo merupakan juara 2010 dan 2011, sementara Tze Yong merupakan pemain ketiga Malaysia menjadi juara perseorangan lelaki selepas Liew Darren (2015) dan Tan Jia Wei (2017) dalam sejarah kejohanan selama 46 tahun itu.
Ia juga merupakan kejuaraan kedua pemain nombor 136 dunia itu selepas memenangi Kejohanan Antarabangsa Selatan Australia 2019.
Sementara itu Choong Hon Jian-Toh Ee Wei, kedua-duanya berusia 20 tahun menjuarai beregu campuran dengan menewaskan Nicolas A. Mueller-Ronjan Stern dari Switzwerland, 21-16 dan 21-12.
Penentuan juara beregu lelaki antara dua beregu Malaysia menyaksikan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menumpaskan Chang Yee Jun-Chia Wei Jie 21-17, 20-22, 21-19 dalam pertarungan selama 49 minit.
Kejayaan Wei Chong, 21, dan Kai Wun, 20, juga mengakhiri kemarau dua dekad negara dalam acara beregu lelaki, yang hanya dimenangi oleh Chang Kim Wai-Hong Chieng Hun pada 2000.
-- BERNAMA
#badminton #Australia #sepanyol #Terbuka Poland #Ng Tze Yong
;