"Pemain MU tak serasi dengan cara Moyes" - MU Malaysia FC
Haider Yutim
April 24, 2014 08:00 MYT
April 24, 2014 08:00 MYT
Cara bekas pengurus Manchester United (MU), David Moyes mengendalikan pasukannya merupakan antara sebab prestasi pasukan bolasepak Liga Perdana Inggeris itu merosot.
Demikian pandangan yang dilontarkan Naib Presiden Manchester United Malaysian Official Fan Club, Raf Yaakob ketika mengulas tentang pemecatan Moyes baru-baru ini.
Katanya, tindakan Moyes memecat kesemua barisan kakitangan yang dilantik Sir Alex Ferguson dan menggantikannya dengan orang-orangnya sendiri menyebabkan mereka menjadi lambat untuk serasi dengan cara yang cuba diketengahkan oleh Moyes.
"Mungkin sedikit boleh menolong kalau bekas kakitangan Ferguson ada di situ, iaitu ada orang lama, ada orang baru... jadi ia seimbang. Tetapi bila kesemuanya adalah kakitangan pengurusan baru, para pemain pun jadi terkejut," kata Raf dalam sesi bual bicara di Analisis AWANI pada Rabu.
Bagaimanapun Raf tidak menyalahkan Ferguson kerana memilih Moyes sebelum beliau bersara dari kelab itu kerana pada masa itu Ferguson mungkin merasakan Moyes layak menerajui MU.
"Saya tak salahkan Ferguson sebab pilih Moyes sebab mungkin time tu dia nampak Ferguson sebagai seorang pengurus yang setia kepada pasukan. Dia boleh bersama Everton lama dan dia boleh buat benda yang sama kepada MU," katanya.
Selain itu, Raf juga berpandangan bahawa pemain-pemain MU berkemungkinan kurang yakin dengan Moyes dan juga kurang hormat kepada Moyes sebagai pengurus kerana beliau terlalu kerap bertemu dengan pemain.
Sementara itu, penganalisis sukan, Christopher Raj pula berpandangan bahawa pemain MU yang tiada suntikan baru adalah antara punca kemorosotan kelab itu yang menjurus kepada pemecatan Moyes.
"Pemain MU kebanyakannya kuda tua dan tiada suntikan baru, dan pemain-pemain yang dibeli Moyes pun tidaklah begitu menonjol," katanya.
Tambahnya lagi, berdasarkan rekod prestasi Moyes menerajui Everton, beliau bukanlah calon pengurus yang baik dan pada pandangannya Ferguson sepatutnya mencadangkan individu yang lebih layak seperti Jose Mourinho.
Moyes telah dipecat oleh kelabnya pada Selasa selepas ia mengalami kemerosotan prestasi yang teruk musim ini.
Berita pemergian Moyes tiba selepas beberapa hari laporan oleh media Britain yang Moyes akan dipecat, 10 bulan selepas mengambil alih tugas itu dari pengurus lagenda Alex Ferguson.
Moyes yang berusia 50 tahun dan berasal dari Scotland terpaksa mengharungi musim getir bersama Red Devils yang jatuh ke tangga tujuh Liga Perdana Inggeris, sekaligus tersingkir dari saingan peringkat tempatan dan Liga Juara-Juara Eropah.
United tewas 2-0 dalam perlawanan terakhir mereka di tangan bekas kelab bimbingan Moyes iaitu Everton. Ini juga kekalahan ke-11 berturut-turut buat pasukan itu.