Pemain kembar Pliskova tidak sabar untuk beraksi
Bernama
Februari 26, 2013 21:30 MYT
Februari 26, 2013 21:30 MYT
Karolina dan Kristyna Pliskova dari Republik Czech tidak sabar untuk beraksi pada kejohanan tenis Terbuka Malaysia BMW 2013 bagi acara beregu wanita.
Adik beradik kembar itu berkata walaupun mereka pernah bermain dalam beberapa perlawanan akhir Persatuan Tenis Wanita (WTA) dan beberapa kali meraih gelaran juara Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), tetapi tidak berpeluang untuk menyertai kejohanan beregu utama sejak hampir empat bulan lepas.
"Saya rasa mampu sampai ke peringkat separuh akhir dan oleh itu kami perlu memberi yang terbaik pada kejohanan ini," kata Karolina di sini hari ini selepas mengalahkan Casey Dellacqua dari Australia 6-3, 6-2 dalam acara perseorangan wanita.
Karolina menjadi juara perseorangan sebanyak sembilan kali dan juara beregu enam kali dalam jelajah ITF. Pada 2010, pemain ini menjuarai acara perseorangan wanita Terbuka Australia setelah mengalahkan Laura Robson pada perlawanan akhir.
Kembarnya, Kristyna, pemain nombor 99 dunia dan juara dua kali bagi acara perseorangan serta lima kali bagi acara beregu dalam jelajah ITF, menjuarai kejohanan Wimbledon 2010 -- kejohanan perseorangan wanita -- dengan mengalahkan Sachie Ishizu 6-3, 4-6, 6-4.
Pasangan kembar ini tiba di sini dari Dubai pada Jumaat.
#beregu
#Karolina Pliskova
#Kristyna Pliskova
#Persatuan Tenis Wanita
#Terbuka Malaysia BMW 2013
#wanita