Pemain dengan prestasi terbaik galas cabaran negara di BATC 2022
Bernama
Januari 29, 2022 04:48 MYT
Januari 29, 2022 04:48 MYT
KUALA LUMPUR: Pencapaian keseluruhan di pentas antarabangsa menjadi ukuran pemilihan skuad lelaki badminton negara menghadapi Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dari 15 hingga 20 Feb depan.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata pemilihan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong disebabkan kedua-dua pemain itu yang lebih menonjol dalam tempoh setahun kebelakangan ini.
Choong Hann berkata baki empat nama melengkapkan senarai pemain perseorangan negara adalah Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King and Jacky Kok Jing Hong yang dipilih menerusi ranking dalaman BAM.
"Untuk Jacky, kita ingin beri peluang untuk dia cari pengalaman dan kebelakangan ini juga dia tunjuk peningkatan yang lebih baik. Jadi kita nak berikan satu motivasi kepada sesiapa pamerkan persembahan bagus, kita akan berikan peluang," katanya yang ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini semalam.
Dengan senarai itu, Choong Hann berharap ia dapat membantu mencapai misi pasukan yang menyasarkan kedudukan empat terbaik sekali gus layak secara merit ke saingan berprestij Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, Mei depan.
Terdahulu, BAM mengumumkan senarai skuad lelaki dan wanita negara yang akan membawa cabaran Malaysia pada BATC 2022 yang juga merupakan kejohanan kelayakan ke Piala Thomas dan Uber 2022.
Bagi skuad wanita, lima pemain perseorangan akan menggalas cabaran negara adalah Eoon Qi Xuan, S.Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Myisha Mohd Khairul.
Menurut Choong Hann, ketiadaan K.Letshana disebabkan pemain itu menjalani proses pemulihan kecederaan belakang.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula mendahului senarai beregu lelaki negara selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun manakala Pearly Tan-M.Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee menjadi taruhan skuad wanita.
Menyentuh mengenai cabaran akan dihadapi pasukan negara, Choong Hann berkata barisan pemain hanya perlu memfokuskan kepada persiapan pasukan dan memastikan segala dirancang barisan kejurulatihan berjalan lancar.
Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan beregu BAM Rexy Mainaky berkata peluang diberikan kepada barisan pasangan muda negara pada kejohanan dwitahunan itu adalah bertujuan memberikan platform kepada mereka membuktikan kemampuan masing-masing.
Sebagai contoh, Rexy berkata aksi konsisten ditunjukkan Wei Chong-Kai Wun dan Anna Cheong-Mei Xing dalam kejohanan disertai terdahulu membolehkan mereka terpilih ke dalam skuad ke BATC 2022.
"Kalau kita tengok persembahan mereka (Man Wei Chong-Tee Kai Wun) di Eropah dan terakhir di India, mereka cukup konsisten dan boleh mengalahkan Rusia dan turut menang di peringkat separuh akhir menentang pasangan kedua India dan di final juga mereka terus konsisten.
"Kita juga ingin ambil kesempatan terhadap usia mereka yang masih muda untuk bermain di BATC 2022 supaya akan menjadi satu pengalaman yang bernilai untuk mereka," katanya.
Wei Chong-Kai Wun dan Anna Cheong-Mei Xing masing-masing merangkul gelaran sulung bagi musim 2022 pada Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2022 di Lucknow.
-- BERNAMA