Pemain banyak berubah, Harimau Malaya mampu bangkit - Kim Swee
Astro Arena
September 7, 2015 17:03 MYT
September 7, 2015 17:03 MYT
Pemangku ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan hanya kemenangan ke atas Arab Saudi akan memadam sejarah hitam bola sepak negara minggu lepas.
Menjelang saingan Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, Kim Swee memberikan pandangan bahawa pemain Harimau Malaya kelihatan tajam dan terdesak untuk mendapatkan keputusan yang positif apabila menyambut The Green Falcons di Stadium Shah Alam esok.
"Pemain-pemain banyak berubah dan berkerja keras jadi saya harap kami mampu kembali bangkit," kata Kim Swee.
"Biarkan perkara itu berlalu, kami harus mempamerkan karakter yang berdisiplin menentang pasukan yang memiliki jurulatih baru dan pemain-pemain baru sama seperti kami."
Kim Swee turut ditemani kapten pasukan Safiq Rahim yang senada apabila ditanya mengenai kekalahan 10-0 di tangan Arab Emiriah Bersatu (UAE) minggu lepas.
"Sebagai pemain, kita harus menyesuaikan diri dengan apa-apa perkara dan teruskan perjuangan kita,"
"Kami harus berfikir ke hadapan dan ambil aksi di tanah air sendiri sebagai satu motivasi dan bermain lebih daripada seratus peratus" katanya.
Manakala Arab Saudi yang dikendali oleh bekas finalis Piala Dunia 2010, Bert Van Marwijk tidak menggangap Harimau Malaya sebagai pasukan belasahan dalam perlawanan yang amat penting.
"Kami mendarat pada awal hari Jumaat dan itu menunjukkan kami amat serius kerana kami berdepan pasukan yang bahaya. Jadi kami akan cuba berikan aksi terbaik esok" kata bekas pengendali Belanda.
Kini, skuad Van Marwijk terikat sebagai pendahulu Kumpulan B bersama UAE dengan 6 mata setelah membelasah Timor Leste 7-0 pada saingan minggu lepas.