Pemain badminton negara pamer kekuatan mental menjelang Piala Thomas, Uber
Bernama
April 19, 2024 20:42 MYT
April 19, 2024 20:42 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain negara mempamerkan tahap kekuatan mental dan psikologi yang mantap serta semangat juang tinggi menjelang saingan Piala Thomas dan Piala Uber yang akan berlangsung pada 27 April hingga 5 Mei ini di Chengdu, China.
Perkara itu dikongsikan pakar psikologi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Frederick Tan, hasil pemantauan beliau ke atas para pemain sepanjang kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini yang bermula Rabu lepas.
Beliau yang sentiasa bersama pemain ketika latihan, turut memaklumkan akan menganjurkan suatu sesi malam ini bersama-sama mereka.
Sesi yang dijangka berlangsung selama kira-kira 45 minit itu disifatkan beliau sebagai sesi latihan paling penting untuk meningkatkan semangat wakil negara bagi menghadapi kejohanan berprestij itu.
"Kami mula pada Rabu, jadi pada saya pembinaan pasukan (team building) untuk para pemain ini sangat baik.
"Terutamanya sekarang, mereka sedang ke arah bersatu sebagai satu pasukan, satu keluarga dan satu matlamat untuk menjayakan misi Piala Thomas dan Uber," katanya kepada pemberita di ABM di sini pada Jumaat.
Frederick berkata sesi malam ini sangat penting untuk membimbing pemain agar sampai ke tahap kemuncak kesepaduan pasukan dan beliau yakin hal itu dapat dicapai menerusi aktiviti khas yang akan diadakannya malam ini.
Beliau berkata pihaknya bersedia memberikan segala sokongan yang diperlukan pemain berpandukan cadangan barisan kejurulatihan, diketuai Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky.
BAM menyenaraikan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian bagi membawa cabaran negara ke Piala Thomas 2024, yang diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria.
Bagi saingan Piala Uber 2024, skuad terdiri daripada Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse, bakal berdepan tugas berat apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.
-- BERNAMA