Pemain B23 perlu beraksi secara kompetitif dalam Liga M - Kim Swee
Zaim Ibrahim
Januari 26, 2018 16:31 MYT
Januari 26, 2018 16:31 MYT
Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B23), Datuk Ong Kim Swee mencabar pemainnya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bersama pasukan masing-masing apabila saingan Liga Malaysia bermula pada awal bulan depan.
Beliau menyifatkan pemain skuad bawah 23 tahun perlu beraksi secara kompetitif dalam saingan Liga Malaysia bagi memastikan tahap kecergasan mereka dapat dikekalkan.
Selain itu tegasnya lagi, untuk pemain muda diserapkan ke skuad senior, mereka perlu menitikberatkan aspek kecergasan dan bermain secara kompetitif setiap minggu.
“Matlamat utama kita (skuad B23) adalah untuk layak ke sukan Olimpik 2020 dan persediaan harus dilakukan sekarang,” katanya ketika dihubungi Astro Awani di sini, hari ini.
Kim Swee yang akan dihantar ke Sepanyol bagi mengikuti kursus kejurulatihan bermula Mac depan menegaskan peluang itu akan digunakan bagi memperbaiki skuadnya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan ilmu yang bakal ditimba di Atletico Madrid tidak semestinya akan mengubah taktikal skuadnya.
“Saya percaya akan mendapat pengalaman dan pendedahan baru hasil sesi latihan di sana (Atletico Madrid) dan akan melihat terlebih dahulu kaedah terbaik yang boleh digunakan untuk membantu pasukan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan Kim Swee akan menjalani kursus kejurulatihan di Sepanyol, berkemungkinan bersama Atletico Madrid.
Kim Swee dijangka akan disertai pembantu Brad Maloney bagi mengikuti latihan selama sebulan atau dua bulan.