Pemain antarabangsa hangatkan kejohanan Malaysia Purple League
Bernama
September 7, 2022 18:19 MYT
September 7, 2022 18:19 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor lima dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen serta bekas juara remaja dunia dua kali dari Malaysia, Goh Jin Wei merupakan antara nama yang bakal berentap pada Malaysia Purple League (MPL), Oktober ini di Shah Alam dan Genting Highlands.
Selepas kali terakhir dianjurkan pada 2018, Ketua Pegawai Eksekutif MPL Ho Khek Mong berkata penganjuran kejohanan berkonsep liga itu menyaksikan lapan pasukan tempatan berentap merebut kejuaraan.
Ho berkata penglibatan pemain profesional antarabangsa berkelas dunia bertujuan memberi ruang kepada pemain kebangsaan untuk beraksi secara kompetitif di dalam format liga.
"Untuk edisi kali ini, empat negara iaitu Thailand, Indonesia, Vietnam dan Singapura bakal menghantar pemain terbaik mereka antaranya Chou Tien Chen (Taiwan), Nguyen Tien Minh (Vietnam) dan tiga pemain dari Singapura iaitu Terry Hee Yong Kai, Loh Kean Hean dan Jessica Tan Wei Han.
"Empat kelab tempatan akan turut menyertai liga kompetitif ini dalam merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah bernilai RM500,000," katanya kepada pemberita di sidang media MPL di sini hari ini.
Selain Jin Wei, Ho berkata antara pemain profesional tempatan terlibat dalam MPL adalah pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan pemain perseorangan wanita, Sonia Cheah.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jana Santhiran berkata penglibatan pemain antarabangsa merupakan medan latihan terbaik buat atlet negara selain membantu pembangunan badminton Malaysia.
"Pertandingan seperti ini amat penting, kerana ia membuka ruang untuk menampilkan bakat baharu sebagai pelapis negara," katanya.
Musim keenam kejohanan Purple League bakal membuka tirai pada 1-6 Okt di Stadium Malawati, Shah Alam manakala pusingan akhir pada 8-9 Okt berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands.
-- BERNAMA