Pelumba pelapis berbasikal negara cedera parah akibat kemalangan
Bernama
September 5, 2015 22:33 MYT
September 5, 2015 22:33 MYT
Seorang pelumba pelapis berbasikal negara berada dalam keadaan kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Km 19 Lebuhraya SILK Kajang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Willey Richard berkata dalam kejadian 9.45 pagi itu, Nur Rozi Yanti Mat Rodzi, 17, terjatuh dari basikalnya dan dilanggar oleh van yang mengiringinya.
Beliau ketika itu sedang menjalani latihan bersama beberapa pelumba lain.
"Pemandu van itu dikatakan tidak perasan Nur Rozi Yanti terjatuh dari basikalnya ketika membetulkan kakinya pada pengayuh akibat mengalami kekejangan otot, lalu melanggarnya," katanya ketika dihubungi oleh Bernama.
Nur Rozi Yanti sedang dirawat di Hospital Kajang dan pihak polis sedang menyiasat kejadian itu.
Sementara itu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata ibu bapa pelumba berkenaan telah dimaklumkan mengenai kemalangan itu.
Beliau berkata sebuah jawatankuasa akan dibentuk untuk melakukan siasatan ke atas kejadian tersebut.