Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT tekad bangkit cemerlang di Catalunya GP
Bernama
September 24, 2020 14:57 MYT
September 24, 2020 14:57 MYT
Dua pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli; bertekad untuk melupakan kekecewaan dalam perlumbaan sebelum ini, dan menggandakan usaha untuk mendapat keputusan lebih baik pada perlumbaan Catalunya Grand Prix (GP) di litar Barcelona-Catalunya Circuit di Sepanyol, hujung minggu ini.
Quartararo yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam edisi 2019 di litar berkenaan, jelas yakin untuk sekali lagi mempamerkan persembahan memberangsangkan kali ini.
"Saya memang nantikan saat ini, kerana rasanya saya boleh dapatkan keputusan yang baik nanti. Memang benar litar itu mempunyai satu kilometer laluan yang lurus, jadi kami (pelumba) perlu bekerja keras membuat persiapan menghadapinya," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan berkenaan hari ini.
"Tahun lepas catatan kelajuan tertinggi kami tidak berapa baik di litar itu, tapi kami masih boleh naik podium, ini bermakna kekuatan kami adalah dalam aspek lain pada perlumbaan itu," kata pelumba berumur 21 tahun dari Perancis itu.
Bagi Morbidelli pula, beliau meletakkan sasaran untuk menaiki podium pada perlumbaan nanti, walaupun ketika ini beliau masih belum pulih sepenuhnya dari masalah sakit perut yang dialaminya semasa mengambil bahagian dalam perlumbaan Emilia Romagna GP di Itali.
"Banyak perkara positif yang diraih daripada perlumbaan di Misano, sebagai bekalan ke perlumbaan di Barcelona, kami akan cuba tampilkan persediaan yang cukup untuk memenangi perlumbaan," katanya.
"Barcelona-Catalunya adalah litar yang penuh bersejarah, banyak kisah menarik mengenai perlumbaan MotoGP ada di sini.
".. pada pandangan saya litar ini mempunyai laluan yang teramat cantik, dan biasanya saya dapat beraksi cemerlang di litar ini, jadi saya memang tidak sabar lagi untuk beraksi nanti," katanya.
Quartararo dan pelumba handalan Sepanyol, Vinales dari pasukan Monster Energy Yamaha, ketika ini terikat dengan 83 mata di tempat kedua, dalam Kejohanan Dunia MotoGP, manakala Morbidelli di tempat kelima dengan 64 mata selepas tujuh perlumbaan.
Perlumbaan Catalunya GP akan bermula dengan sesi latihan bebas esok, diikuti dengan sesi kelayakan sebelum perlumbaan sebenar pada hari Ahad.
-- BERNAMA
#barcelona
#catalunya grand prix
#fabio quartararo
#franco morbidelli
#moto GP
#Petronas
#Petronas Yamaha Sepang Racing Team
#sepanyol
#SRT