Pelumba drift tempatan harumkan nama Malaysia
Astro Awani
November 21, 2022 05:30 MYT
November 21, 2022 05:30 MYT
PELUMBA drift, Fazreen Ismail mengharumkan nama pasukan drift Malaysia apabila berjaya menempatkan diri di kedudukan kedua keseluruhan dalam ranking Drift Kings Asia 2022.
Kejayaan itu selepas dia memperoleh tempat ketiga dalam pusingan keempat pelumbaan Drift Kings Asia Cup 2022 di Pathumthani Speedway, Thailand hujung minggu lalu.
Motorsports Association of Malaysia (MAM) dalam kemas kini di Facebook pada Isnin berkata, Fazreen, 35, daripada pasukan FRT Fusing Racing Team terdahulu turut mendapat tempat pertama dalam pusingan ketiga dan terakhir Siri Drift Kebangsaan Malaysia 2022.
Sementara itu, Fazreen yang lebih dikenali sebagai Along yang sudah lebih 15 tahun aktif dalam sukan berkenaan, berkata kejayaan itu adalah sangat manis lebih-lebih lagi sebagai penutup tahun 2022.
"Ia adalah pengalaman dan kenangan yang manis untuk diingati pada tahun 2022," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, Along yang merangkul pelbagai kejuaraan dalam serta luar negara, berkata besar harapannya agar sukan aksi itu tidak dikaitkan dengan isu negatif.
Katanya, melakukan aksi drift di jalan awam adalah satu contoh yang buruk untuk ditunjukkan kepada masyarakat kerana ia adalah perbuatan yang berbahaya.
"Saya berharap, sesiapa sahaja pemandu kereta di luar sana tidak melakukan aktiviti yang berbahaya seperti memandu secara melulu, melakukan aksi seperti hooning atau drifting di jalan awam yang boleh mendatangkan kerosakan dan kemudaratan.
"Mereka juga tidak sepatutnya berlumba secara haram drag atau touge tanpa pemerhatian pihak-pihak tertentu (profesional atau pihak berkuasa) untuk keselamatan para pengguna jalan raya dan sekitarnya," katanya.