Pelumba cilik Maleeq Dragster terus gegar bumi Jepun

Sinar Harian
Februari 5, 2024 18:55 MYT
Ini adalah pencapaian kedua Maleeq selepas mencipta sejarah menjadi anak Malaysia pertama membawa pulang trofi RSC Jepun musim ke-12 pada November tahun lalu.
PELUMBA cilik, Maleeq Dragster membuka kalendar musim 2024 dengan langkah bergaya apabila menjuarai Kejuaraan Run Bike Series (RSC) Jepun 2024 di Fuji Marine Pool baru-baru ini.
Ini adalah pencapaian kedua Maleeq, 5, atau nama penuhnya, Wan Ayden Maleeq Wan Mohd Muzri selepas dia mencipta sejarah menjadi anak Malaysia pertama membawa pulang trofi RSC Jepun musim ke-12 pada November tahun lalu.
Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli yang juga bapa kepada Maleeq berkata, kejayaan itu amat bermakna buat komuniti pushbike yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada anaknya.
“Perlumbaan kali ini sangat mencabar kerana bukan sahaja persaingan antara pelumba, tetapi cuaca kedua-dua hari pertandingan hujan. Apabila hujan, suhu menjadi semakin sejuk dan Maleeq berlumba dalam keadaan kesejukan.
“Untuk mengekalkan kejuaraan adalah sesuatu yang mendebarkan dan merisaukan kami sebagai ibu bapa. Tahniah dan bangga kerana ini adalah permulaan terbaik Maleeq untuk tahun 2024.
“Membawa nama Malaysia dan pasukan M8 Malaysia ke peringkat lebih tinggi adalah satu tanggungjawab yang besar. Tanpa usaha dan pengorbanan tidak mampu kita ukir kejayaan. Sejarah berulang lagi kali ini buat Maleeq,” katanya.
Kejayaan Maleeq turut menerima pujian daripada Presiden RSC, Yuuki Takahira yang mengakui Malaysia berjaya melahirkan seorang juara, selain mendapat liputan beberapa akhbar Jepun seperti Tokyo Chinichi Sports dan Majalah RCS.
RSC Jepun adalah kejohanan terbaik di Asia dengan mengumpulkan juara-juara pushbike dari seluruh dunia, antaranya tuan rumah, China, Taiwan, Thailand, Malaysia dan banyak lagi.
Sebagai persediaan, Maleeq menyertai kejohanan pemanas badan M8 Centre Pushbike Race yang dianjurkan di Malaysia selama dua hari pada 30 dan 31 Disember lalu yang menyaksikannya muncul juara berganda pada saingan tersebut.
Kejayaan itu memberikan keyakinan tinggi buat Maleeq sehingga berhasil menjuarai RSC Jepun buat kali kedua berturut-turut. - Sinar Harian
#Maleeq Dragster #pushbike #pelumba cilik #Jepun
;