Peluang Shah Firdaus untuk menyinar - Mohd Azizulhasni

Bernama
September 21, 2023 12:19 MYT
Mohd Azizulhasni berkata beliau optimis Muhammad Shah (gambar) sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar di pentas antarabangsa. - Foto fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sukan Asia Hangzhou 2022 menjadi pentas terbaik buat pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menampilkan potensinya selepas menjadi sandaran utama untuk membawa pulang pingat bagi kontinjen negara.
Ia selepas jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengumumkan untuk menarik diri berikutan kecederaan yang dialami minggu lepas.
Mohd Azizulhasni berkata beliau optimis Muhammad Shah sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar di pentas antarabangsa terutamanya tanpa kehadiran beliau sekali gus membuktikan kemampuan sebenarnya.
"Ini adalah masa untuk Shah menyerlah, beliau seorang pelumba yang berbakat dan mempunyai semangat juang tinggi seperti semua lihat ketika Kejohanan Trek Asia (di Nilai, Jun lepas).
"Shah sudah nak hampir tahap dengan saya tetapi mungkin masih ada kekurangan dari segi mental. Ini adalah masanya untuk dia belajar dan menyesuaikan diri berdepan situasi tekanan tinggi," katanya pada sidang media status kecederaan beliau di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini semalam.
Muhammad Shah Firdaus sebelum ini pernah membuktikan mampu menggalas tanggungjawab besar tanpa kelibat Mohd Azizulhasni, apabila berjaya meraih gangsa acara keirin di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Sementara itu, Mohd Azizulhasni yang juga pemenang perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyuarakan pendapat sama terhadap Mohd Fadhil Mohd Zonis yang disifatkannya sebagai pelumba yang mempunyai kekuatan fizikal yang sangat baik.
"Fadhil juga adalah pelumba yang berbakat dan dia adalah yang terkuat (dalam kalangan pelumba basikal trek negara) di dalam gimnasium. Namun, dia ada masalah kepercayaan terhadap diri sendiri dan tahap keyakinan dirinya masih belum berada di tahap tertinggi.
Semalam jurulatih trek berbasikal negara John Beasley mengumumkan Mohd Fadhil bakal menggantikan Mohd Azizulhasni bagi acara keirin individu, manakala Muhammad Ridhuan Saharom bakal mengantikan bagi acara pecut individu.
-- BERNAMA
#Muhammad Shah Firdaus Sahrom #Sukan Asia Hangzhou 2022 #Azizulhasni Awang #pelumba berbasikal trek negara
;