Peluang lahirkan lebih ramai 'Luqman Hakim' - Syed Saddiq
Madiha Abdullah
Oktober 11, 2019 05:06 MYT
Oktober 11, 2019 05:06 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan peruntukan RM45 juta untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dalam Belanjawan 2020 sebagai satu rangsangan hebat, khususnya buat anak muda di luar bandar.
Peruntukan itu, yang merupakan kenaikan sebanyak RM30 juta berbanding tahun lalu, akan memberi peluang kepada anak muda yang berbakat dalam bola sepak untuk dimasukkan dalam ekosistem bola sepak, sekali gus berpeluang mengasah bakat ke peringkat antarabangsa.
"Ini akan beri impak kepada lebih 80,000 anak muda untuk diberi peluang bermain di peringkat lebih tinggi. Secara tidak langsung kita berpeluang melahirkan lebih ramai pemain seperti Luqman Hakim, yang baru-baru ini disenaraikan antara 60 bakat muda bola sepak berpotensi di dunia.
"Kita nak lahirkan lebih ramai Luqman, kerana itu kita perlukan pelaburan yang besar dan strategik," tegas Syed Saddiq.
Beliau yang juga merupakan Ketua Armada Bersatu melihat belanjawan itu sebagai satu kejayaan buat anak muda, khususnya membabitkan peluang pekerjaan.
"Contohnya, suntikan dana sebanyak khas berjumlah RM6.5 bilion untuk mencipta 350,000 peluang pekerjaan berkualiti.
"Tetapi dalam masa yang sama, ia bukan sahaja berkenaan peluang pekerjaan baharu, kerana kita dapat lihat sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sangat dekat di hati anak muda terutama yang berlatarbelakangkan keluarga B40, meningkat ke RM200 juta, tidak termasuk peningkatan elaun untuk pelajar-pelajar TVET.
"Inilah yang kita mahukan. Bukan sekadar one-off assistant, sebaliknya mereka diberi juga latihan dan apabila tamat belajar, mereka dapat pekerjaan yang berkualiti," katanya lagi.
#anak muda
#Belanjawan2020
#bola sepak
#Menteri Belia dan Sukan
#peluang pekerjaan
#senangkanyangsusah
#sukan
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman