Peluang beraksi di liga antarabangsa menerusi program 'Million Dollar Feet'
Bernama
September 14, 2016 08:45 MYT
September 14, 2016 08:45 MYT
Pemain bola sepak berusia 11 hingga 14 tahun berpeluang beraksi di liga antarabangsa menerusi program 'Million Dollar Feet (MDF)' yang akan bermula di Pulau Pinang pada 24 dan 25 Sept ini.
Pengarah MDF, Peter de Kretser berkata inisiatif itu yang mendapat sokongan Brickfields Asia College (BAC) bertujuan mencungkil bakat muda Malaysia, serta meletakkan negara di pentas bola sepak dunia.
"MDF akan menjelajah ke seluruh negara, turun ke peringkat akar umbi dengan satu objektif bagi mengenal pasti pemain terbaik tanpa mengira kaum, latar belakang, fahaman atau status sosial.
"...dengan legenda Liverpool Steve McMahon sebagai ketua jurulatih, dua finalis akan ditaja sepenuhnya ke United Kingdom dan berpeluang menandatangani atau beraksi bersama kelab perdana Eropah," katanya pada sidang media di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan dan Pengarah Urusan BAC, Raja Singham.
Sesi pemilihan pertama di Pulau Pinang akan diadakan di Padang Brown, Jalan Dato' Keramat, diikuti di Kuantan (1-2 Okt), Kuching (8-9 Okt), Johor Bahru (14-15 Okt) dan terakhir di Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Okt.
Kretser berkata sesi pemilihan secara percuma itu terbuka kepada pemain muda lelaki dan perempuan bagi memperagakan kemahiran mereka di hadapan barisan jurulatih program berkenaan.
Sementara itu, Kamalanathan dalam ucapannya pada majlis tersebut, berkata program MDF membuka lembaran baharu dalam bola sepak Malaysia kerana menyediakan platform kepada pemain muda untuk merealisasikan impian mereka agar menjadi kenyataan.
"Inisiatif ini selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk memberi dorongan kepada rakyat Malaysia, dan saya percaya kita (kementerian) berada di landasan yang betul," katanya.