Peluang Axelsen tamat badi 15 tahun cerah

Bernama
Julai 2, 2022 08:00 MYT
Reaksi Axelsen selepas menewaskan Anthony pada perlawanan suku akhir Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, 1 Julai 2022. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen mula mengorak langkah untuk menamatkan dominasi pemain perseorangan Asia selama 15 tahun selepas mengesahkan slot separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, malam tadi.
Juara Olimpik Tokyo 2020 itu, bangkit daripada ketinggalan set pertama 18-21 sebelum menewaskan pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, 21-17, 21-12 pada saingan suku akhir di Axiata Arena Bukit Jalil di sini.
Pemain Eropah terakhir menjuarai acara perseorangan lelaki Terbuka Malaysia ialah Peter Gade dari Denmark pada edisi 2007.
Axelsen, 28, kini berada dalam keadaan terbaik untuk mengulangi pencapaian rakan senegaranya itu selepas merangkul dua gelaran - Terbuka dan Masters Indonesia, bulan lalu dan berkata beliau berasa segar dan bertenaga dari segi kecergasan fizikal untuk memburu lebih banyak kegemilangan.
Mengulas mengenai perlawanan malam tadi, juara dunia 2017 itu berkata, Ginting tidak memberi kemenangan mudah tetapi sebaliknya menawarkan pertarungan sengit.
"Saya tidak fikir adil untuk menilai perlawanan ini berdasarkan keputusan...ia memang perlawanan sengit. Jelas sekali semua orang boleh melihat corak permainannya lebih menarik daripada saya," katanya.
Axelsen berkata beliau bangga dengan pencapaian ini serta corak permainannya dan juga sangat realistik tentang segala-galanya.
"Menyandang gelaran juara Olimpik dan pemain nombor satu dunia, anda mesti tahu bagaimana menangani tekanan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Pada perhitungan separuh akhir hari ini, Axelsen akan berdepan dengan seorang lagi wakil Indonesia, Jonatan Christie, yang menyingkirkan pemain India, H.S. Prannoy, 21-18, 21-16.
Dalam satu lagi pertarungan separuh akhir, pemain nombor dua dunia, Kento Momota dari Jepun berdepan dengan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Momota tidak perlu memerah keringat apabila mendapat kemenangan percuma selepas pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito yang ketinggalan 6-13 pada set pertama tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan betis kanan.
Kunlavut pula bangkit daripada kekalahan set pertama 15-21 sebelum menewaskan pemain China, Lu Guang Zu, 21-10, 21-17.
Sementara itu,saingan separuh akhir hari ini bakal menyaksikan ulangan final Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila juara Terbuka Malaysia selama tiga kali berturutr-turut (2017-2019), Tai Tzu Ying dari Taiwan menentang juara Olimpik Tokyo, Chen Yu Fei dari China.
Tzu Ying, selaku pemain nombor wanita dua dunia, mengalahkan pemain India, PV Sindhu, 13-21, 21-15, 21-13 manakala Yu Fei terpaksa bertarung lebih sejam untuk mengatasi pemain Jepun, Nozomi Okuhara, 14-21, 21-18, 21-18.
Dalam satu lagi saingan separuh akhir akan menyaksikan juara 2016, Ratchanok Intanon dari Thailand berdepan dengan wakil China, Wang Zhi Yi.
Ratchanok mengatasi pemain China, Han Yue 22-20, 21-12 manakala Zhi Yi mengalahkan pemain Denmark, Line Hojmaerk Hojmark Kjaersfeldt, 9-21, 21-10, 21-17 untuk mara ke kelompok empat pemain terbaik.
-- BERNAMA
#viktor axelsen #Terbuka Malaysia 2022 #Anthony Sinisuka Ginting #Jonatan Christie
;